UIAM Gombak Dilanda Ribut, Pokok Tumbang Hempap Kenderaan


HUJAN lebat yang berterusan telah mengakibatkan beberapa kereta tenggelam serta pokok tumbang akibat banjir kilat yang melanda kampus Universiti Islam Malaysia (UIAM) di Gombak semalam.

Tular di laman sosial Facebook beberapa foto kejadian yang berlaku di UIAM.

Menerusi foto yang tersebar yang dimuat naik oleh netizen menerusi laman sosial itu, beberapa buah kereta dipercayai milik staf UIAM turut dihempap pokok dalam kejadian yang berlaku.

Malah beberapa buah kenderaan lain dilihat terkandas di dalam perkarangan UIAM akibat beberapa jalan di universiti itu ditenggelami air banjir kilat.

Selain itu, ribut yang melanda juga turut merosakkan beberapa kediaman pelajar sehinggakan terdapat atap daripada kolej kediaman yang tercabut diterbangkan ribut serta kemusnahan harta benda yang lain.


Sebuah video dimuat naik oleh laman Careta menerusi Facebook memaparkan beberapa anggota bomba dari Balai Bomba Selayang dan Gombak Selatan serta Pasukan Bomba Sukarela dan Jabatan Pertahanan Awam Sentul bertungkus lumus menjalankan kerja-kerja pembersihan memotong pokok-pokok tumbang yang menghalang laluan keluar masuk di universiti tersebut.

Tambah laman itu lagi, setakat ini tiada sebarang kecederaan yang dilaporkan berhubung insiden tersebut. –Kedahnews.com