Ular Sawa 6 Meter Melintang Halang Jalan Di Baling

Ular itu diserahkan kepada APM Baling.
BALING - Seorang penunggang motosikal terkejut apabila jalan dilaluinya dihalang seekor ular Sawa sepanjang enam meter dipercayai kerana kekenyangan, kelmarin.

Syahrul Azwan Ahmad, 26,berkata, ular itu ditemui di tengah jalan Kampung Bukit Kuala Kuang ketika dia dalam perjalanan ke rumah seorang rakannya sekitar jam 11 malam.

"Waktu itu saya menunggang motosikal dari kampung Padang Dan untuk ke rumah kawan, sedang dalam perjalanan tiba-tiba seekor ular kelihatan di tengah-tengah jalan.

"Saya terpaksa memberhentikan motosikal kerana takut untuk teruskan perjalanan, risau juga jika ular itu bertindak agresif," katanya .

Menurutnya, dia segera menghubungi Angkatan Pertahanan Awam ( APM) Baling dan rakan lain bagi mendapatkan bantuan.

"Saya ambil keputusan untuk tunggu di situ sebelum rakan-rakan lain tiba 10 minit kemudian.Selepas itu ular itu diikat dengan tali bagi mengelakkan ia menjalar ke dalam semak. Ular itu akhirnya diserahkan kepada APM Baling,"katanya.

Sumber: Sinar Harian