Umat Islam Perlu Ikut Ijtihad Ulama – PAS


KUALA LUMPUR – Setiap muslim yang tidak mencapai kemampuan ilmu untuk berijtihad dalam memahami fiqh al-Quran dan al-Hadis secara halus dan teliti perlu mengikut ijtihad mana-mana tokoh ulama.

Pemimpin PAS, Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali berkata, umat Islam perlu mengikut ijtihad seperti Imam Mazhab yang empat Hanafi, Maliki, Syafie dan Hambali.

“Seterusnya setiap muslim berusaha memahami dalil-dalil hukum kadar kemampuan ilmu bagi melengkapkan amal,” jelasnya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Mufti Perlis, Prof Madya Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin pada 26 Januari lalu bagaimanapun menyatakan orang ramai tidak wajar menerima apa sahaja yang diperkatakan oleh golongan ulama berhubung sesuatu perkara.

Kata Mohd. Asri, orang ramai mempunyai akal untuk berfikir dan agama bukan untuk menyekat mereka daripada berfikir menggunakan akal.

“Jika hanya terima apa sahaja yang disebut oleh ulama, soalannya ulama mana? Ulama pun pelbagai aliran dan mazhab.Itu belum lagi kira yang pelbagai parti (politik),” kata Mohd. Asri. – Kedahnews.com