Yusry, Lisa Takkan Sekat Rezeki Yahaira Leanne


PASANGAN selebriti Yusry dan Lisa Surihani sebelum ini pernah menyatakan untuk tidak mahu mendedahkan anak sulungnya, Yahaira Leanne kepada dunia hiburan.

Namun kemunculan si kecil itu menerusi iklan Proton Ertiga bersama-sama mereka mengundang spekulasi tentang pendirian pasangan ini terhadap anak sulung mereka itu.

Walau bagaimanapun, pasangan ini mempunyai alasan dan sebab tersendiri berkaitan pembabitan Yahairan di dalam iklan tersebut.


Menurut Yusry kepada Media Hiburan, dia dan Lisa sama sekali tidak akan menyekat rezeki anaknya, Yahaira sekiranya tawaran itu dirasakan sesuai.

“Benar, kami pernah berkata tidak mahu terlalu mendedahkan Yahaira pada perhatian umum.

“Tapi sebagai ibu dan bapa, siapalah kami untuk menyekat rezekinya. Jadi bila ada tawaran yang kami rasa bersesuaian, tidak salah untuk kami terima.

“Begitu juga dengan gambar Yahaira di dalam akaun Instagram kami. Ada yang mempertikaikan mengapa kami upload gambar Yahaira sedangkan kami kata tak mahu dedahkan dia.


“Maksud tidak mahu dedahkan itu, ialah wujudkan akaun media sosial untuknya dan kongsi aktiviti hariannya.

“Tapi bila hari raya atau hari jadi dia, takkanlah kami nak upload gambar berdua, seolah-olah menidakkan pula kehadirannya,” jelasnya.

Perkembangan terbaru pasangan selebriti ini, mereka bakal menimang cahaya mata kedua pada April depan.

Semoga kehadiran seorang lagi insan baru membuahkan rezeki yang melimpah ruah buat pasangan ini. - Kedahnews.com