18 Peniaga Di Pahang Gagal Patuhi Skim Kawalan Harga


KUANTAN – Sebanyak 18 peniaga di Pahang dikenakan kompaun kerana gagal mematuhi peraturan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan sempena Tahun Baharu Cina 2017.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pahang, Sharuddin Jali berkata Jerantut mencatatkan tujuh kes, diikuti masing-masing tiga di Raub dan Bera, Temerloh (2) dan masing-masing satu di Pekan, Lipis dan Rompin.

Beliau berkata sepanjang tempoh pelaksanaan skim itu dari 23 Jan hingga 3 Feb, sebanyak RM2,050 kompaun telah dikenakan dengan nilai rampasan sebanyak RM1,963.

“Sepanjang tempoh itu, jumlah premis yang diperiksa ialah 138 pemborong dan 1,704 kedai runcit manakala kesalahan yang paling kerap dilakukan ialah gagal mempamer tanda merah jambu pada barangan kawalan.

“Alasan yang diberikan ialah mereka tidak sedar barangan itu telah ditandakan sebagai barang kawalan sedangkan KPDNKK ada mengedar risalah bagi rujukan peniaga,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai pemeriksaan di kedai barangan perkakasan di sini, semalam.

Sharuddin juga memaklumkan pihaknya merampas 30 berus cat dipercayai diperbuat daripada bulu babi dari dua premis perniagaan di Tanah Putih dan Tanjung Lumpur di sini semalam.

“Dua peniaga itu didapati gagal mematuhi Seksyen 29 Akta Perihal Dagangan 2011 yang mewajibkan mereka mempamerkan secara berasingan dan melabel produk yang diperbuat daripada bahagian anjing atau babi,” katanya.

Sharuddin berkata mereka yang disabitkan kesalahan mengikut seksyen itu boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun bagi kesalahan pertama dan denda sehingga RM250,000 atau penjara maksimum lima tahun bagi kesalahan seterusnya.

Mana-mana pertubuhan yang didapati bersalah pula boleh didenda tidak lebih RM200,000 bagi kesalahan pertama dan RM500,000 bagi kesalahan seterusnya, katanya.

Beliau turut menasihati peniaga supaya lebih peka dengan produk di premis mereka kerana KPDNKK akan mempergiatkan pemeriksaan bagi memastikan peraturan itu dipatuhi untuk kemudahan pengguna. – BERNAMA