2 Maut Akibat Lori Ais Langgar Lampu Isyarat Merah Di Kulim


KULIM – Gara-gara langgar lampu isyarat merah, sebuah lori ais merempuh dua penunggang motosikal hingga maut di simpang empat Sungai Karangan- Padang Meha, Kulim, Kedah di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.25 malam itu, dua penunggang motosikal dikenali sebagai Mohamad Adam Mohd Adnan, 24, yang menunggang SYM Sport Bonus dari Kampung Kejai, Kuala Ketil dan penunggang Modenas Kriss, Azizah Hamid, 53, dari Kampung Bukit Hijau, Kuala Ketil meninggal dunia di tempat kejadian.


Sementara itu, anak lelaki kepada Azizah iaitu Mohamad Syazwan Shukardi Zulkepli berusia 18 tahun patah kaki kiri dan cedera di badan.

Media arus perdana melaporkan, Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim Deputi Superintendan Baruddin Wariso berkata, hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa datang dari arah Kulim Hi-Tech menghala ke arah Baling.

Menurutnya, lori yang dipandu lelaki berusia 47 tahun itu datang dari arah Sungai Karangan dan siasatan awal mendapati pemandu tersebut melanggar lampu isyarat merah sebelum merempuh dua motosikal mangsa.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, seorang pengguna Facebook, Dhany Sarip iaitu rakan kepada mangsa yang cedera meluahkan rasa kesalnya dengan sikap pemandu lori ais yang melanggar lampu isyarat merah hingga menyebabkan dua nyawa terkorban.

Menurutnya, kejadian tersebut turut menyebabkan rakannya cedera akibat terpelanting dan kini masih menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Kulim, Kedah kerana patah tulang pinggul dan peha.

“Tahukah anda apa punca kemalangan ini? Lori menjual ais itu telah melanggar lampu isyarat berwarna merah.

“Celxxx! Pemandu lori ais tersebut memang celxxx! Maka atas alasan apa lampu isyarat berhenti tidak dipatuhi? Apabila berlaku kemalangan seperti, alasan apa yang ingin diberi?” tulisnya.

Jelasnya, mangsa wanita yang meninggal dunia itu adalah ibu tunggal apabila suaminya telah meninggal dunia sebelum ini dan kini anak-anaknya yang masih bersekolah rendah sudah kehilangan kasih sayang ibu bapa.

“Anak-anaknya ada yang masih bersekolah rendah. Seawal usia yang masih muda kehilangan kasih seorang ibu, hanya kerana kerakusan pemandu lori tersebut.

“Adakah pemandu tersebut akan menanggung derita yang akan dihadapi oleh anak-anak almarhumah? Jawapannya jelas. Tidak. Tidak sama sekali. Jika dibayar dengan jutaan wang ringgit sekalipun, tetap tidak akan dapat menggantikan nyawa orang lain. Nyawa orang lain yang tidak bersalah, tetapi menjadi mangsa angkara makhluk durjana,” tulisnya.

Danny berkata, pihak berkuasa perlu memandang serius kejadian tersebut dan menjatuhkan hukuman sewajarnya terhadap pemandu berkenaan kerana mendakwa lelaki tersebut adalah pembunuh.

“Kepada para pemandu lainnya, ambillah iktibar dari kejadian ini. Patuhilah lampu isyarat dan perhatikanlah kenderaan yang berada di sekeliling, khususnya motosikal.

“Tidak keterlaluan untuk saya katakan bahawa risiko bagi penunggang motosikal adalah lebih tinggi berbanding kenderaan lain, maka berikanlah perhatian yang lebih kepada mereka. Tidak salah untuk kita lebih bertimbang rasa di jalanraya,” tulisnya. –Kedahnews.com