Penduduk menunjuk debu hitam dari kilang berdekatan yang menimbulkan masalah kepada mereka. |
POKOK SENA - Tempoh 20 tahun sudah cukup menyeksa penduduk di empat kampung sekitar Jabi yang terpaksa membersihkan debu dari asap kilang berhampiran setiap hari.
Rutin harian mereka terpaksa diisi dengan mencuci halaman rumah setiap beberapa jam gara-gara rungutan mereka tidak didengari pengusaha kilang.
Roshidi Saad, 44, dari Kampung Jabi berkata, penduduk di Kampung Jabi, Kampung Bendang, Kampung Lanjut dan Kampung Bukit Kecil kecewa dengan pihak berkuasa kerana masih gagal menyelesaikan masalah itu.
Menurutnya, debu hitam yang dikeluarkan oleh kilang berkenaan menyebabkan rutin harian penduduk sering terganggu.
"Pencemaran debu hitam ini membahayakan kesihatan. Tak hairanlah tiap bulan ada saja penduduk dapatkan rawatan di klinik.
“Keadaan bertambah serius masa angin kencang hingga penduduk yang tinggal berhampiran kilang terpaksa tutup pintu dan tingkap rumah mereka. Anak-anak pun kita tak galakkan keluar, takut sakit,” katanya.
Difahamkan pengilang sering mengeluarkan asap dari kilang pada waktu malam supaya orang ramai dan pihak berkuasa tidak mengambil sebarang tindakan.
Penduduk di situ bukan sahaja berhadapan dengan pencemaran debu tetapi juga dengan pencemaran bau minyak hingga kadang-kalanya rasa meloyakan.
“Penduduk sudah berkali-kali buat laporan kepada pihak berkuasa dan selepas itu keadaan pulih seperti biasa. Bagaimanapun selepas beberapa minggu pencemaran akan berlaku semula.
“Selepas penduduk buat aduan kepada pihak berkenaan, kami berharap masalah itu dapat diselesaikan tetapi kilang itu semakin meluaskan lagi kawasan operasinya hingga pencemaran menjadi-jadi,” katanya.
Sapu lantai tiap hari
Suri Ciling, 51, pula berkata, setiap hari dia terpaksa menyapu di seluruh kawasan rumahnya yang dipenuhi dengan debu hitam itu.
Menurutnya, setiap beberapa jam dia dan suaminya terpaksa menyapu atau menyimbah air di sekitar rumahnya bagi mengelak kediaman mereka itu dipenuhi dengan debu hitam dari kilang.
"Kami terpaksa sidai kain dalam rumah, takut baju kotor kena debu. Ini menimbulkan masalah kepada kami.
"Malah ada juga kanak-kanak yang sering dapat penyakit gatal kulit. Persoalannya sampai bila kami nak hadap masalah ni," katanya.
Katanya, dia malu jika tetamu yang datang kurang selesa dengan keadaan itu.
"Saya merayu supaya pihak berkuasa dan wakil rakyat turun menyelesaikan masalah ini,” katanya.
Dalam pengetahuan
Sementara itu, Adun Bukit Lada, Datuk Ahmad Lebai Sudin ketika dihubungi berkata, masalah itu pernah dibawa ke sidang Dun Kedah, bagaimanapun ia telah selesai.
"Kini masalah ini timbul semula dan wakil dari Pejabat Adun Bukit Lada sudah turun menyiasat perkara itu.
“Jika masalah itu masih berlarutan saya sendiri akan memaklumkan kepada pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) supaya sama-sama turun menyelesaikannya,” katanya.
Sumber: Sinar Harian