3 Dokumen Arkib Britain Bukti Kukuh Pulau Batu Puteh Hak Malaysia


AMSTERDAM – Ketika ramai sejarawan antarabangsa terkejut tindakan dramatik Peguam Negara Malaysia menuntut semula Pulau Batu Puteh daripada Singapura, ia ada cerita unik di sebaliknya.

Perkara itu didedahkan laman sesawang Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), The Hague di sini setelah Tan Sri Mohamed Apandi Ali pada Jumaat mengesahkan pihaknya memfailkan permohonan semakan semula kes tersebut.

Rupa-rupanya terdapat lagi tiga dokumen lama berusia lebih 50 tahun yang ditemui di pejabat Arkib Negara Britain di London yang mengesahkan kedaulatan pulau kecil tersebut bukan pun di bawah wilayah pentadbiran Singapura.

Penemuan bukti dokumen rasmi secara tidak dijangka itu kini digunakan pihak Pejabat Peguam Negara Malaysia sebagai fakta baharu untuk mengemukakan permohonan bagi semakan keputusan ICJ ditetapkan pada 2008 lalu.

Menurut laman ICJ itu lagi, pegawai Malaysia mendapati dokumen-dokumen yang ditemui di arkib nasional tersebut sebenarnya merupakan naskhah surat dalaman pihak berkuasa kolonial Singapura bertarikh pada 1958.

Ia merujuk kepada satu laporan insiden yang difailkan secara rasmi oleh seorang pegawai tentera laut diraja Britain pada tahun berkenaan dan beberapa lagi catatan dalam peta lama operasi pihak tentera laut dari tahun 1960-an.


Hasil dokumen itu, ia mengukuhkan fakta baharu bahawa “para pegawai peringkat tertinggi kolonial Britain dan pentadbiran Singapura maklum Pulau Batu Puteh tidak membentuk sebahagian wilayah hak kedaulatan Singapura.”

Bahkan Mohamed Apandi dalam kenyataan semalam menjelaskan bahawa “mahkamah (ICJ) mungkin membuat keputusan yang berbeza jika ia mengetahui tentang bukti baharu itu” dalam permohonan difailkan pada Khamis.

Dalam pada itu, ICJ menerusi laman tersebut menambah, dokumen berkenaan hanya ditemui semasa menyemak segala fail lama zaman pentadbiran kolonial selepas ia mula dibuka kepada orang ramai oleh Arkib Negara Britain.

Pihak arkib tersebut hanya membuka semua fail berkenaan setelah keputusan panel ICJ dimuktamadkan secara rasmi pada 2008 dan bukan kerana dokumen-dokumen itu diabaikan akibat kecuaian oleh mana-mana pihak.

Kementerian Hal Ehwal Luar Singapura semalam menyatakan republik itu sedang mengkaji permohonan Malaysia dengan teliti dan sudah membentuk sebuah pasukan guaman untuk memberikan respons kepada permohonan itu.

Stesen penyiaran Channel NewsAsia melaporkan, pasukan perundangan Singapura termasuk Peguam Negara Lucien Wong selain Profesor S. Jayakumar, Profesor Tommy Koh dan mantan Hakim Besar Chan Sek Keong.

Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan bahawa Singapura memiliki hak kedaulatan terhadap Pulau Batu Puteh (Pedra Branca) manakala Batuan Tengah (Middle Rocks) dan Tubir Selatan (South Ledge) merupakan milik sah Malaysia.

Pulau Batu Puteh yang seluas dua padang bola sepak itu terletak 7.7 batu nautika di luar pantai Tanjung Penyusuh, Kota Tinggi, Johor dan 25.5 batu nautika dari Tampines, titik timur Singapura. – Agensi