300 Nelayan Kuala Sala Dan Tasik Pedu Terima Minyak Percuma


YAN – Kira-kira 300 nelayan miskin di Kedah menerima bekalan minyak percuma berjumlah RM15,000 yang disumbangkan oleh syarikat insurans, Etiqa Takaful Berhad.

Ia menyumbangkan bahan api tersebut sebagai sebahagian daripada sumbangan zakat menerusi program anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Islamic Aid Malaysia (IAM) yang melaksanakan misi kemanusiaan.

Kesemua nelayan tersebut, 180 daripada Kuala Sala dan selebihnya dari Tasik Pedu, masing-masing menerima bekalan petrol bernilai RM50 pada Jumaat.

Nelayan yang berasal dari Kuala Sala menerima bekalan di stesen minyak di Kampung Sungai Dedap manakala nelayan Tasik Pedu mendapat bantuan di sebuah stesen minyak di Pedu.

Presiden IAM, Zawahir Abdullah berkata, Kedah merupakan salah satu daripada lima buah negeri yang dipilih oleh NGO tersbut untuk Program Bantuan Minyak Enjin Bot.

Jelas beliau, seramai 300 nelayan masing-masing dari Johor dan Pahang menerima bantuan yang sama pada bulan lalu manakala nelayan di Pulau Pinang akan menerima petrol percuma pada Sabtu dan di Kelantan pada 11 Mac.

“Penerima bantuan minyak percuma dikenal pasti dengan kerjasama daripada pihak persatuan nelayan tempatan,” katanya.

Sumber: mStar