6 Kes Positif RotaVirus, Air Panas Ulu Lengong Ditutup Sementara


ALOR SETAR - Jabatan Kesihatan Kedah mengesahkan enam kes disyaki jangkitan rotavirus yang menerima rawatan di Hospital Kulim dipercayai selepas mengunjungi Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Legong, Baling, Isnin lalu.

Mereka terdiri kanak-kanak berusia dua hingga 11 tahun membabitkan tiga lelaki dan tiga perempuan daripada dua keluarga menerima rawatan di Hospital Kulim bermula 11 pagi kelmarin.

Bagaimanapun kesemua mangsa berada dalam keadaan stabil dan siasatan mendapati mereka pernah mengunjungi pusat rekreasi itu sekitar jam 1 pagi hingga 4 pagi Isnin lalu, kata Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Norhizan Ismail.

Menurutnya lagi, setakat ini hasil keputusan ujian mendapati dua kes positif rotavirus sementara yang lain masih dalam ujian dan menunggu hasil keputusan.

“Jabatan Kesihatan Negeri sudah mengambil tindakan segera seperti meminta semua pengarah hospital dan Pejabat Kesihatan Daerah peka dengan semua kemudahan kesihatan termasuk hospital dan klinik swasta di daerah masing-masing untuk melaporkan kes rotavirus dengan sejarah melawat Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Legong dari 25 Januari lalu hingga hari ini ke Pejabat Kesihatan Daerah terdekat.

“Semua Unit Kawalan Penyakit Berjangkit negeri-negeri lain khasnya Pulau Pinang dan Perak sudah dimaklumkan untuk memantau kejadian kes ini jika ada melawat kawasan rekreasi berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media, kelmarin.

Memetik Sinar Harian, Dr Norhizan berkata, Pejabat Kesihatan Daerah Baling sedang menjalankan siasatan mengenal pasti punca jangkitan di kawasan rekreasi air panas itu dan sekitarnya. Malah kawasan rekreasi air panas tersebut ditutup buat sementara waktu bagi menjalankan siasatan lanjut.

“Pejabat Kesihatan Daerah Baling akan menutup kawasan rekreasi air panas berikut untuk siasatan lanjut.

“Jabatan Kesihatan Negeri Kedah akan terus memantau kejadian kes kluster ini dan tindakan kawalan dan pencegahan akan dijalankan melalui semua Pejabat Kesihatan Daerah,” katanya. - Kedahnews.com