Ahli Parlimen Alor Setar Digesa Jangan Merengek


ALOR SETAR - Ahli Parlimen Alor Setar, Gooi  Hsiao Leung digesa supaya tidak bersikap "merengek" tentang peruntukan bagi parlimen yang diwakili, sebaliknya memberi lebih tumpuan kepada tugasnya sebagai wakil rakyat.

Ketua Pengerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar, Syed Hafiz Syed Mustafa berkata, Gooi sepatutnya berusaha mengotakan segala janji yang dibuat pada pilihan raya umum (PRU) yang lalu kerana itulah tugas sebagai seorang Ahli Parlimen.

"Saya harap Gooi berhenti merengek mengenai peruntukan kepada kerajaan, tak perlu cabar Menteri Besar itu dan ini, sebaliknya terus buat kerja sendiri dan tunjukkan kepada masyarakat apa yang dia janji dulu dan apa yang dia sudah buat sekarang selain daripada merengek mengenai peruntukkan.

"Kalau dia nak terus burukkan BN itu terpulang kepada dia kerana itu memang kerja dia sebagai pembangkang tetapi kerja dia sebagai Ahli Parlimen itu lain, itu tanggungjawab dia kepada rakyat," katanya kepada Kedahnews.com, membidas Gooi.


Gooi sebelum ini mempersoal peruntukan bagi kawasan Parlimen Alor Setar yang kononnya perlu disalurkan kepadanya bagi membangunkan parlimen dan rakyat yang diwakilinya.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sebelum ini menjelaskan bahawa peruntukan untuk parlimen yang diwakili pembangkang tetap sampai kepada rakyat dan peruntukan dari Kerajaan Persekutuan itu disalur melalui penyalaras parlimen masing-masing, bukan melalui wakil rakyat pembangkang.

Syed Hafiz berkata, Ahmad Bashah tidak perlu untuk melayan "rengekan" Gooi itu memandangkan Alor Setar bagaikan "rumahnya sendiri", dan beliau bersama para pemimpin parti komponen BN sememangnya tidak pernah mengabaikan ibu negeri Kedah itu.

"Rengekan dan cabaran yang kemukakan Gooi tidak perlu dilayan  oleh Menteri Besar kerana kawasan Alor Setar ibarat rumah baginya.

"Beliau bersama jentera BN dan juga rakan rakan  MCA, GERAKAN dan MIC banyak membantu di kawasan ini sejak dahulu sebelum adanya Gooi dalam persada politik," tegasnya.

Berikut dibawah adalah kenyataan penuh Syed Hafiz yang juga merupakan Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah; - Kedahnews.com
AHLI PARLIMEN ALOR SETAR DIGESA JANGAN MERENGEK

Selaku ketua Pemuda Bahagian Alor Setar, saya ingin mengulas mengenai tindakan seorang Ahli Parlimen (Gooi Hsiao Leung) yang tinggal di Pulau Pinang tetapi menjadi wakil parlimen PKR di Alor Setar.

Kenyataan beliau bahawa Menteri Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengugut pengundi adalah tidak tepat dan tidak menggambarkan apa yang cuba di sampaikan oleh YAB Menteri Besar.

Saya ingin mengingatkan Gooi mengenai keadaan di Selangor dan Pulau Pinang ketika ini, bukankah ia juga amalan yang sama yang mereka lakukan, bahkan mungkin lebih teruk. Kita tahu sebab kita BN (Barisan Nasional) juga menjadi pembangkang di negeri-negeri berkenaan.

Jadi saya harap Gooi berhenti merengek mengenai peruntukan kepada kerajaan, tak perlu cabar Menteri Besar itu dan ini, sebaliknya terus buat kerja sendiri dan tunjukkan kepada masyarakat apa yang dia janji dulu dan apa yang dia sudah buat sekarang selain daripada merengek mengenai peruntukkan. Kalau dia nak terus burukkan BN itu terpulang kepada dia kerana itu memang kerja dia sebagai pembangkang tetapi kerja dia sebagai Ahli Parlimen itu lain, itu tanggungjawab dia kepada rakyat.

Rakyat di kawasan Alor Setar tidak hidup hanya untuk berpolitik sepanjang masa, banyak perkara perlu diselesaikan dan ia kini masih menjadi tanggungjawab Barisan Nasional (BN), lebih baik dia (Gooi)  tanya diri dia sendiri, apa yang dia dah buat di kawasan yang diwakilinya.

Bagi saya, rengekan dan cabaran yang kemukakan Gooi tidak perlu dilayan  oleh Menteri Besar kerana kawasan Alor Setar ibarat rumah baginya, beliau (Menteri Besar) bersama jentera BN dan juga rakan rakan  MCA, GERAKAN dan MIC banyak membantu di kawasan ini sejak dahulu sebelum adanya Gooi dalam persada politik.

Jadi dalam soal ini Menteri Besar biar jawab terus kepada rakyat kerana beliau sentiasa di sini, beliau tidak bekerja secara maya seperti Gooi yang jiwa dan tubuhnya bukan di Alor Setar. Beliau tidak seperti Gooi yang bergantung kepada bertanya khabar rakyat di facebook, di sini rakyat boleh jumpa Menteri Besar sendiri,  Ahmad Bashah  turun di banyak kawasan di Alor Setar berjumpa rakyat, beliau berjumpa masyarakat Melayu, Cina, India dan Siam, beri  bantuan secara terus kepada masyarakat, dengar masalah rakyat terus dari mulut mereka sendiri. Ahmad Bashah tidak tanya mereka parti mana, beliau tidak duduk di Pulau Pinang di tempat lain dan datang merengek sekali sekala menyalahkan orang lain, Alor Setar ini dan Kedah ini adalah rumah beliau dan kami (BN).

Bagi kita (BN) apa yang disampaikan kepada masyarakat tidak mengenal parti, bila Perdana Menteri umumkan BRIM, beliau tidak pernah sebut ia hanya untuk ahli BN sahaja, semua yang layak dapat. Begitu juga selainya, jika nak disebut banyak lagi peruntukan, untuk kebajikan, usahawan dan ada pelbagai bentuk yang disalurkan.   

Justeru saya ingin tegaskan di sini bahawa BN tidak pernah lari dari landasan perjuangannya. Namun dalam kita mengharungi hidup ini memang akan berlaku saat getir yang perlu dilalui, namun saya beri jaminan keadaan tidak akan selamanya pahit, kena pada masanya nanti, kita akan merasai kemanisan jua.

Syed Abdul Hafiz Bin Syed Mustapa
Ketua Pemuda UMNO Alor Setar