Akar Umbi Di Kedah Sambut Baik Kerjasama UMNO Dan PAS


ALOR SETAR - Para pemimpin akar umbi UMNO di negeri Kedah menyambut baik jalinan yang kian mesra di antara pucuk pimpinan UMNO dan PAS demi kepentingan bangsa Melayu dan agama Islam yang semakin tercabar di zaman ini.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar, Syed Hafiz Syed Mustafa berkata, UMNO dan PAS sememangnya dari zaman sebelum merdeka lagi berjuang menegakkan syiar Islam di negara ini dan hakikat itu tidak dapat dinafikan oleh mana-mana pihak.

"Dari zaman sebelum merdeka lagi, UMNO sudah berjuang untuk tegakkan syiar Islam. Selepas UMNO berpecah dan PAS terbentuk pun, kedua parti itu sama-sama tegakkan syiar Islam di negara kita.

"UMNO menggunakan pendekatan menerapkan asas Islam di dalam jiwa umat Islam, dan mungkin PAS agak ekstrim dalam merealisasikan matlamat itu. Namun dasar, agenda dan perjuangan UMNO dan PAS tetap sama.

"Kita sama-sama Islam, sama-sama Melayu dan wajib menegakkan hak bangsa kita di negara yang asalnya bernama Tanah Melayu dan perlu memartabatkan syiar Islam yang kita junjung sejak sebelum zaman merdeka lagi," katanya kepada Kedahnews.com di sini, hari ini.

Namun begitu, keceluparan pihak tertentu sebelum ini yang mempertikai dan menentang keras agenda memperkasakan masa depan orang Melayu dan syiar Islam telah menyebabkan majoriti umat Islam di negara ini tersentak dengan kebiadapan tersebut.

Justeru itu katanya, maka tidak hairanlah jika pucuk pimpinan UMNO dan PAS semakin akrab bersatu-padu dalam hal kepentingan Melayu dan Islam di negara ini sehingga menyebabkan pihak berkenaan bagai "cacing kepanasan".

Mengulas mengenai pepecahan bangsa Melayu beragama Islam kepada beberapa parti politik baru seperti Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Hafiz berpandangan bahawa mereka hanyalah segelintir ahli politik yang mahu mengejar kuasa.

"Dalam perkara ini, hanya Islam saja yang boleh menyelamatkan Melayu. Melayu hari ini telah berpecah kepada banyak kumpulan, ibarat hidup berkabilah-kabilah.

"Jika mereka tidak kejar kuasa, PAN dan PPBM tidak perlu pun ditubuhkan. Mereka hanya perlu lompat sertai PKR, DAP atau PAS. Tapi mereka tidak buat demikian kerana mungkin nanti tak dapat jawatan yang diidamkan.

"Jadi sekarang, walaupun sedar hala tuju, dasar dan perjuangan sangat berbeza, mereka sanggup berpura-pura depan rakyat kononnya sepakat. Itu semua untuk 'beli' keyakinan rakyat saja. Itu cara politik mereka agaknya," ujar beliau lagi. -Kedahnews.com