Amanah Ikhtiar Sediakan RM13.3 Juta Tahun 2016

Pengurusan tertinggi Amanah Ikhtiar Malaysia bersama Kelab Usahawan Sahabat Ikhtiar ketika Majlis Perasmian berlangsung di Midtown Hall, Sungai Petani baru-baru ini.
SUNGAI PETANI – Amanah Ikhtiar Malaysia menyediakan jumlah pembiayaan sebanyak RM13.307 juta sepanjang tahun 2016 kepada Kelab Usahawan Sahabat Ikhtiar Kuala Muda Cawangan Sungai Petani berbanding sasaran RM12.48 juta.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Dr Zubir Harun berkata, biarpun kelab bagi cawangan Sungai Petani baharu sahaja ditubuhkan pada 5 April 2015, namun pergerakan mantap dan positif ahli kelab sahabat serta peranan ahli jawatankuasa menjadikan ia bergerak aktif serta lancar.

Menurutnya, bagi data operasi Cawangan Sungai Petani, sebanyak RM1.52 juta pembiayaan telah dilakukan sepanjang Januari 2017 melibatkan sebanyak 2,692 pembiayaan.

“Sepanjang bulan per-tama 2017, kita mempunyai 2,164 sahabat sah di Sungai Petani melibatkan 49 bilangan pusat dan 450 bilangan kumpulan,” katanya ketika hadir ke Majlis Perasmian Kelab Usahawan Sahabat Ikhtiar Cawangan Sungai Petani dan Pelancaran Satu Pokok Satu Sahabat baru-baru ini.

Majlis dirasmikan, Ahli Majlis Perbandaran Sungai Petani, Annuar Ahmad yang mewakili Penaung Kelab, Datuk Tajul Urus Mat Zain.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Korporat dan Kesejahteraan Amanah Ikhtiar Malaysia, Yaacob Omar; Ketua Pegawai Operasi Zon Utara Amanah Ikhtiar Malaysia, Che Mahdi Idris; Pengurus Wilayah Kedah Selatan, Salina Jaafar dan Pengerusi Kuick Cawangan Sungai Petani, Faridah Abdul Hamid.

Menurut Zubir, sepanjang 2016, sebanyak RM138.725 juta pembiayaan dilakukan bagi seluruh Kedah meliputi cawangan Sik, Baling, Yan Kuala Muda, Kulim dan Sungai Petani berbanding sasaran pembiayaan berjumlah RM136.944 juta.

Beliau turut berbangga dengan pencapaian jualan produk kelab Sahabat Sungai Petani iaitu mengkomersialkan pokok limau kasturi yang telah pun mencecah kepada 2,000 pokok, membuktikan komitmen yang tinggi ahli sahabat untuk membangunkan kelab serta menjana pendapatan.

Dalam masa sama, beliau berkata, penubuhan kelab itu bertujuan menyatukan ikatan muhibah, semangat kerjasama dan tolong-menolong supaya dapat meningkatkan peluang perniagaan dalam kalangan ahli.

“Kelab juga bersedia beri bimbingan serta kursus kepada peniaga dan penjaja untuk menjana ekonomi masa depan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian