Anak Bekas MB Kedah Bakal Jadi Calon PPBM Di Parlimen Langkawi, Dun Kuah?


ALOR SETAR - Desas-desus sedang bertiup kencang di kalangan pemerhati politik di Kedah yang memperkatakan tentang anak salah seorang bekas Menteri Besar Kedah akan bertanding sebagai calon mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di negeri ini.

Khabar angin tersebut mendakwa, Ahli Majlis Tertinggi (AMT) PPBM, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi dilihat mempunyai potensi besar untuk terpilih sebagai calon di Parlimen Langkawi dan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuah.

Potensi anak kepada bekas Menteri Besar, Tan Sri Sanusi Junid itu untuk menang di Parlimen dan Dun tersebut adalah tinggi berdasarkan kepada faktor kawasan tersebut pernah menjadi kubu kuat bapanya sebelum ini.

Sanusi merupakan penyandang jawatan Ahli Parlimen Jerlun-Langkawi pada tahun 1982 dan merupakan Adun Kuah pada 1996 serta kemudian dilantik sebagai Menteri Besar Kedah oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Walaupun Sanusi menyandang dua jawatan wakil rakyat tersebut ketika beliau merupakan pemimpin UMNO, difahamkan bahawa pengaruh beliau di Pulau Lagenda tersebut masih besar dan mampu menggugat kawasan yang dikuasai Barisan Nasional (BN) itu.

Selain itu, faktor pemilihan Akhramshah untuk bertanding di Parlimen dan Dun berkenaan dikatakan turut dibantu oleh pengaruh Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad yang banyak menabur jasa di Langkawi ketika pemerintahannya dulu.

Memberi tumpuan kepada pembangunan Langkawi khususnya dalam sektor pelancongan, pulau yang diiktiraf antara tercantik di dunia itu dikatakan mula berkembang pesat dan maju di zaman kepimpinan Dr Mahathir.

Walau bagaimanapun, dakwaan yang mengatakan Akhramshah bakal terpilih sebagai calon utama bagi Parlimen Langkawi dan Dun Kuah itu masih menjadi khabar angin dan tidak dapat dipastikan kebenarannya.

Namun begitu, pemilihan beliau itu dikatakan tidak mustahil berdasarkan latar belakangnya yang merupakan salah seorang pemimpin muda yang dilihat mempunyai pengaruh besar di dalam PPBM.

Akhramshah kini merupakan Pengerusi Biro Keahlian PPBM dan prestasi beliau dikatakan cemerlang apabila dikatakan mampu mencatat jumlah keahlian yang tinggi bagi parti baru itu di negeri Kedah. -Kedahnews.com