ALOR SETAR - Ahli Parlimen Alor Setar, Gooi Hsiao Leung dicabar untuk menyenaraikan segala jasanya kepada rakyat di parlimen yang diwakili beliau berbanding bekas Ahli Parlimen kawasan itu sebelum ini, Tan Sri Chor Chee Heung.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah menegaskan Ahli Parlimen PKR itu hanya pandai berkata-kata dan mempersoal, namun tidak menjalankan tugas sebagai wakil rakyat yang baik kepada pengundi serta masyarakat setempat.
"Kita nak tanya dia balik, apa yang dia dah bantu rakyat di Parlimen Alor Setar?
"Dewan apa yang dia bina? Berapa duit yang dia bagi pada rakyat? Dia cakap saja pandai, dia tak mengaku pula hakikat bahawa yang rugi itu pengundi dan penduduk setempat di Parlimen Alor Setar.
"Wartawan boleh tanya masyarakat setempat, apakah peranan dia sudah hampir 5 tahun dah dia jadi Ahli Parlimen, apabila Tan Sri Chor (Chee Heung) dikalahkan pada pilihan raya dulu.
"Apa yang dia buat dan apa yang sudah Tan Sri Chor buat? Orang ramai boleh banding," katanya kepada Kedahnews.com, sekaligus melontarkan pertanyaan sinikal terhadap Ahli Parlimen PKR tersebut.
Chor dari parti MCA yang sebelum ini mewakili Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi Parlimen Alor Setar sebanyak 6 penggal pernah dilantik sebagai Menteri dan Timbalan Menteri sebelum tewas kepada Gooi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang lalu.
Ahmad Bashah berkata, Chor sebelum ini banyak berjasa kepada rakyat Kedah khususnya di Parlimen Alor Setar dengan membawa pembangunan dan merancakkan ekonomi ibu negeri Kedah itu dengan pelbagai projek melalui peruntukan dari Kerajaan Pusat.
Ahmad Bashah menjelaskan bahawa Kerajaan BN Pusat kebiasaannya menerima lebih kurang RM5 juta hingga RM6 juta peruntukan kepada Ahli Parlimen BN setiap tahun bagi membangun dan menyalurkan khidmat bakti kepada masyarakat dalam bentuk program, projek dan sebagainya.
"Kalau RM6 juta setahun, sepenggal sudah jadi RM30 juta... Kalau 5 kerusi parlimen kita kalah, maka lebih kurang RM150 juta, rugi rakyat di kawasan yang kita kalah," katanya membidas persoalan yang dilontarkan Gooi baru-baru ini.
Pengerus Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah itu menjelaskan bahawa peruntukan untuk rakyat bagi setiap parlimen yang kalah itu tetap ada, namun disalurkan melalui pegawai penyelaras Parlimen atau Dun di kawasan berkenaan bagi memastikan masyarakat tidak dizalimi dan tertinggal dari arus pembangunan sosio-ekonomi tempatan.
Kata Ahmad Bashah lagi, ketika BN menjadi pembangkang di Kedah selama sepenggal, beliau tidak menerima sedikit pun sumbangan peruntukan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bakar Bata dari kerajaan negeri.
Namun begitu jelasnya, beliau mengambil inisiatif untuk berusaha sendiri mencari peruntukan dari Kerajaan Pusat, kementerian dan agensi-agensi bagi memastikan rakyat dan Dun yang diwakilinya terus mendapat kemakmuran serta kebajikan yang perlu.
Ahmad Bashah berkata demikian dalam sidang media yang diadakan ketika membuat pertemuan dengan empat sayap UMNO Bahagian Alor Setar di kediaman rasmi Menteri Besar di Seri Mentaloon, petang tadi. - Kedahnews.com