APMM Bakal Perkenal Dua Aset Baru Sempena LIMA’17


PELABUHAN KLANG – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan memperkenalkan dua aset terbaru pada Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2017 yang bakal berlangsung dari 21 hingga 25 Mac depan.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Ahmad Puzi Ab. Kahar berkata dua aset baharu itu merupakan dua buah kapal yang satu daripadanya disumbangkan kerajaan Jepun.

“Satu daripada kapal ini adalah Kapal Maritim Pekan iaitu kapal peronda pesisir pantai yang akan disumbangkan oleh Jepun, sementara satu lagi merupakan kapal baharu yang sedang dalam pembinaan yang akan dilancarkan terlebih dahulu pertengahan Mac sebelum ia menyertai perbarisan armada di pameran LIMA.

“Selain dua aset tersebut, kita juga akan membuat beberapa kejutan lain di pameran LIMA tersebut termasuk demontrasi pesawat APMM,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pasukan Sukarelawan Simpanan Maritim Malaysia (PSSMM) peringkat Selangor di sini, semalam.

Turut hadir Pengarah Maritim Selangor Rosli Abdullah.

Ahmad Puzi berkata kedua-dua kapal itu mempunyai kelebihan masing-masing selain dilihat mampu meningkatkan keupayaan operasi agensi berkenaan dalam menjaga dan mengawal keselamatan perairan negara.

Mengulas mengenai PSSMM, beliau berkata setakat ini PSSMM mempunyai kekuatan hampir 1,000 anggota di seluruh negara sejak ia ditubuhkan September lepas.

“Sehingga hari ini lima PSSMM telah dilancarkan iaitu di Perlis, Sabah, Terengganu, Kelantan diikuti hari ini di Selangor.

“Kewujudan pasukan ini kita lihat amat penting bagi menyokong serta menambah kekuatan sumber manusia dalam tugas-tugas penguatkuasaan maritim termasuk tugas mencari dan menyelamat,” katanya.

Tambahnya PSSMM menyasarkan keanggotaan sukarelawan seramai 5,000 orang di seluruh negara menjelang akhir bulan ini. – BERNAMA