Azimi Daim Dijangka Bakal Calon MB Kedah?


ALOR SETAR - Dato' Azimi Daim, dijangka bakal menjadi calon Menteri Besar bagi pakatan pembangkang sekiranya mampu merampas kuasa dari Barisan Nasional (BN) di Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

Beliau yang dilantik sebagai Ketua Bahagian (Penaja) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Kulim/Bandar Baharu sebelum ini dikatakan pemimpin paling sesuai untuk jawatan tersebut berdasarkan beberapa faktor dan latar belakang beliau sebelum ini.

Selain merupakan rakan karib kepada Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Azimi dikatakan mampu menggalas tugas tersebut ekoran kedudukan jawatannya sebelum ini yang merupakan Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar Kedah itu.

Desas-desus yang bertebaran di kalangan pemerhati politik mendakwa berdasarkan pengalamannya luas, bijak mengambil hati, sopan santun dan budi bahasanya yang sangat baik amat membantunya untuk menjawat jawatan tersebut.

Sementara itu, sikap murah hati dan keprihatinannya terhadap kesusahan rakyat selaku pemimpin kanan Mukhriz ketika memerintah negeri Kedah selama hampir 3 tahun sebelum ini dikatakan begitu menyentuh sanubari masyarakat, khususnya golongan veteran.

Selain itu, hubungan rapat dan memahami keperluan serta kehendak golongan muda juga dikatakan menjadi faktor penting yang ada pada diri Azimi untuk menarik sokongan politik kepada parti baru tersebut.

Berpengalaman sebagai seorang Exco Kerajaan Negeri yang berkaliber dan sangat disenangi oleh rakyat khususnya di kawasan Kulim - Bandar Baharu juga merupakan faktor jangkaan yang melayakkan dirinya sebagai Menteri Besar Kedah.

Biarpun hanya kira-kira 3 tahun sebagai pegawai paling kanan Mukhriz selaku Setiausaha Politik Menteri Besar, Azimi dikatakan banyak menabur jasa dan mempunyai jaringan serta hubungan politik yang baik dengan semua pihak.

Azimi juga dikatakan bakal dilantik sebagai Menteri Besar oleh Pakatan Harapan ekoran spekulasi politik yang mengatakan Mukhriz berkemungkinan besar memberi fokus lebih di peringkat parlimen.

Jangkaan mengatakan Mukhriz berkemungkinan akan dilantik sebagai salah seorang menteri kabinet sekiranya Pakatan Harapan yang diketuai DAP berjaya mengambil alih kuasa pentadbiran negara di Putrajaya. - Kedahnews.com