Bapa Anak Satu Didakwa Pukul Kekasih Guna Papan Rehal

Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR – Seorang bapa anak satu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas pertuduhan memukul teman wanitanya menggunakan papan rehal, dua minggu lepas.

Abdullah Pi, 30, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap jurujual berumur 26 tahun menggunakan papan rehal dan puntung rokok di dalam bilik di sebuah hotel di Jalan Raja Laut, di sini, pada 4 Februari lepas.

Tertuduh yang tidak bekerja didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau dengan denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan-seksaan itu jika sabit kesalahan.

Majistret Mahyudin Mohmad Som tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh kerana tiada penjamin hadir dan menetapkan 10 Mac bagi sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – BERNAMA