Md Fuad (kanan) bersama Salleh (tengah) dan Abd Nasir menunjukkan surat perjanjian insentif. |
BALING - Seorang bekas jurulatih Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) daripada Pusat Latihan Rela Wilayah Utara Bukit Selambau, menuntut majikan lamanya menyegerakan insentif dijanjikan.
Salleh Zakaria, 63, dari Kampung Batu Lapan Mukim Siong berkata, berdasarkan perjanjian dalam tempoh perkhidmatan, setiap jurulatih yang ditamatkan perkhidmatan akan menerima insentif.
“Saya berkhidmat selama 33 tahun bersama Rela bermula pada 1982 dengan bayaran RM5 sehari sehinggalah diberhentikan pada Februari tahun lalu tanpa sebarang alasan. Insentif dijanjikan ketika berkhidmat juga belum diberi.
“Namun khidmat saya tidak diperlukan mungkin atas faktor umur walaupun syarat dalam Rela membenarkan jurulatih berhenti pada usia 65 tahun dan ke atas. Saya agak sedih dan terkilan kerana khidmat selama ini seolah-olah diabaikan serta tidak langsung dihargai,” katanya.
Terdahulu, bekas komandan Pusat Latihan Rela Wilayah Utara, Md Fuad Ahmad dan Setiausaha Pas Kawasan Baling, Abd Nasir Idris menziarahi Salleh di kediamannya.
Bertambah rumit katanya, dia tidak lagi mampu bekerja selepas kaki kirinya mengalami masalah saraf hingga terpaksa dibedah serta berjalan menggunakan bantuan tongkat.
“Selepas diberhentikan, doktor sahkan pula kaki kiri mengalami masalah saraf.
"Saya baru selesai jalani pembedahan Disember tahun lalu dan perlu jalani rawatan setiap hari di klinik kerajaan,” katanya.
Difahamkan, Salleh yang sebelum ini bergantung sepenuhnya dengan elaun harian Rela menanggung isteri dan dua anak belum berkahwin.
Katanya, isteri dan salah seorang anak di bawah tanggungannya mengalami masalah buah pinggang tahap empat dan perlu menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu.
“Isteri dan anak berusia 33 tahun mempunyai masalah buah pinggang dan kos rawatan dialisis mereka ditanggung oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Baling manakala seorang lagi anak di bawah tanggungan tidak bekerja kerana menjaga urusan kami sekeluarga,” katanya.
Tambahnya, pendapatan keluarga ketika ini dibantu dua anak lain yang sudah bekerja.
Md Fuad berkata, jabatan Rela diminta dapat melunaskan tanggungjawab sebagai majikan terhadap Salleh.
“Saya harap pihak Rela mempercepatkan pemberian insentif kepada Salleh memandangkan jasa dan sumbangannya cukup besar bukan sahaja kepada Rela tetapi kepada negara,” katanya.
Sementara itu, Abd Nasir berkata, selain penghargaan kepada atlet negara yang menyumbang pingat dalam kejohanan besar, jasa bekas pasukan Rela juga tidak wajar dilupakan.
“Sumbangan Rela amat besar terutamanya dalam misi bencana atau banjir, malah Salleh yang merupakan jurulatih sejak 1982 telah melahirkan lebih 30,000 anggota Rela terlatih di negara ini,” katanya.
Orang ramai yang ingin meringankan beban keluarga Salleh boleh menghubungi talian 013-597 2334 atau 019-548 0976 atau terus salurkan sumbangan ke akaun Maybank 102036521771 atas nama Nooraini Ibrahim (isteri Salleh).
Sumber: Sinar Harian