Bekas Perogol Bersiri Setuju Dipantau, Kini Menetap Di Lembah Klang


JOHOR BAHRU - Bekas perogol bersiri S. Selva Kumar bersetuju untuk dipantau pihak polis walaupun dia tidak diwajibkan oleh undang-undang negara ini untuk melaporkan diri.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata lelaki berumur 56 tahun itu kini berada di Lembah Klang dan sudah memberikan butiran dirinya yang diperlukan polis, sejurus tiba di negara ini, Selasa.

"Kita (polis) tahu di mana dia (Selva Kumar) akan tinggal, jadi kita akan pantau dia. Undang-undang kita (Malaysia) tidak membenarkan kita (polis) menahan dia, tetapi dia sendiri rela dan bersetuju untuk dipantau," katanya.

Khalid berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Amanat Ketua Polis Negara sempena Persidangan Ketua-Ketua Jabatan Pengurusan dan Institusi Latihan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini Rabu.

Beliau berkata pihaknya juga akan bekerjasama dengan masyarakat setempat untuk bersama-sama memantau Selva Kumar dan meminta mereka supaya tidak gusar berhubung soal keselamatan.

"Buat masa ini tidak ada apa yang perlu dirisaukan terhadapnya (Selva Kumar). Dia bebas kerana dia telah menjalani hukuman di tempat dia melakukan jenayah. Dia warga kita (Malaysia), jadi dia bebas di sini," katanya.

Selva Kumar yang berasal dari Pulau Pinang dan selesai menjalani hukuman penjara 24 tahun di Toronto, Kanada, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada pukul 7.30 pagi semalam dengan menaiki pesawat Qatar Airways dari Doha.

Dia dihukum penjara selama 24 tahun pada 1992 setelah didapati bersalah termasuk bagi 19 tuduhan serangan seksual dan tempoh tahanan penjaranya tamat pada hujung bulan lepas. -Bernama