Ben Nathan Alami Tekanan Mental Selepas Ditipu?


Presiden Yayasan Artis 1Malaysia, Datuk DJ Dave mendedahkan penyanyi popular era 1980-an, Ben Nathan yang ditemui hidup gelandangan di ibu negara mungkin akibat tekanan perasaan atau mental kerana ditipu pihak tertentu.

Mstar melaporkan, Ben sering memberikan alasan kononnya perlu ke Jakarta bagi menyelesaikan urusan rakaman lagu kepada Dj Dave pada setiap kali pertemuan mereka sebanyak tiga kali pada enam bulan lalu.

“Dia sering ulang mengenai Jakarta. Dia kata hanya boleh ikut saya (untuk dibantu) selepas dia pulang dari Jakarta… konon ada rakaman lagu di sana katanya. Mungkin itu adalah puncanya, mungkin ada orang tipu dia.

“Bila saya minta nombor telefonnya untuk dihubungi, dia pula minta kad nama saya dan berjanji untuk hubungi saya. Tapi akhirnya senyap begitu sahaja. Saya harap pakar boleh pastikan apa sebenarnya masalah yang dihadapi Ben,” katanya yang dipetik Mstar.

DJ Dave yang juga rakan Ben sebelum ini sering memujuk penyanyi lagu Stanza Sepi Sekeping Hati itu namun sering ditolak dengan pelbagai alasan.


Semalam, Ben telah dibawa ke Hospital Kuala Kumpur (HKL) bagi membolehkan doktor memantau tahap kesihatan dan mentalnya selama seminggu.

DJ Dave mengakui daya ingatan rakannya itu masih kuat dan berharap Ben dapat pulih sepenuhnya secepat mungkin.

Jelasnya, keluarga Ben bersetuju supaya penyanyi lagu Ilusi Satu Penantian itu ditempatkan. – Kedahnews.com