ALOR SETAR - Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa parti pembangkang akan tewas kepada Barisan Nasional (BN) sekiranya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bekerjasama dengan PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti.
Tegas Pengerusi PPBM itu, perkiraan aritmetik PAS ternyata salah sama sekali dan percaturan itu hanya akan menyebabkan pepecahan yang bakal menggagalkan matlamat pembangkang untuk mengejar kuasa ke Putrajaya.
"Aritmetik (perkiraan), itu tidak benar. Jika kita pergi bersama PAS, mereka (DAP) akan menjadi pembangkang dan kita perlu lawan tiga penjuru dan ia akan pecahkan undi.
"Dan ia akan menyebabkan BN menang," katanya pada sidang media selepas sesi meja bulat 'Selamatkan Malaysia' di Petaling Jaya, semalam.
Justeru itu, kenyataan Mahathir itu membayangkan bahawa PAS berkemungkinan menjadi penyebab utama pembangkang gagal untuk menewaskan BN nanti.
Mahathir berkata demikian bagi mengulas kenyataan PAS sebelum ini yang mahu PPBM dan PKR menyertai Gagasan Sejahtera yang diketuai parti Islam itu berbanding terus menjalin kerjasama dengan DAP dan Parti Amanah Negara (PAN) di dalam Pakatan Harapan.
PAS sebelum itu menegaskan partinya tidak akan menyertai Pakatan Harapan ekoran enggan sama sekali bekerjasama dengan DAP dan PAN di dalam gabungan tersebut gara-gara pengalaman pahit parti itu ketika menganggotai Pakatan Rakyat yang sudah berkubur. -Kedahnews.com