PEMAIN Cameroon meraikan kejayaan mereka merangkul Piala Negara-Negara Afrika 2017 selepas menundukkan Mesir 2-1. - AFP |
DUA pemain gantian membantu Cameroon untuk bangkit menewaskan Mesir 2-1 dalam perlawanan akhir Piala Negara-Negara Afrika , sekali gus melakarkan kejuaraan kelima kejohanan berprestij di benua tersebut.
Dalam perlawanan itu, Mesir terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi pemain tengah Arsenal, Elneny pada minit ke-22 hasil lorongan cantik bintang AS Roma, Mohamed Salah.
Elneny merembat masuk bola di sudut sukar untuk menewaskan Ondoa yang menyangka penyerang Mesir itu akan melakukan hantaran lintang.
Bagaimanapun babak kedua menyaksikan Cameroon menggandakan asakan untuk memburu gol penyamaan bagi menghidupkan peluang merangkul trofi kelima kejohanan itu.
Hasilnya, pemain gantian, N'Koulou berjaya menyudahkan hantaran lintang rakan sepasukan Moukandjo menerusi tandukan yang gagal diselamatkan oleh penjaga gol Mesir, El Hadary.
Ketika perlawanan seakan-akan diheret ke masa tambahan, seorang lagi pemain gantian, Aboubakar menjadi duri dalam daging buat Mesir apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-88.
Aboubakar bijak memperdayakan tiga pertahanan Mesir sebelum melepaskan rembatan rendah yang sukar ditepis oleh El Hadary.
Kejayaan itu menjadikan Cameroon sebagai pasukan kedua paling cemerlang dalam kejohanan itu dengan lima gelaran berbanding Mesir yang merangkul tujuh kejuaraan.
Malah kemenangan tersebut merupakan kali pertama buat Cameroon ke atas Mesir dalam perlawanan akhir selepas tiga kali percubaan sebelum ini.
Jurulatih Cameroon, Hugo Bross menyifatkan semangat berpasukan yang dipamerkan anak buatnya sebagai resepi kejayaan itu.
"Saya sangat gembira dengan kejayaan mreka.
"Pasukan ini bukan terdiri daripada pemain bola tetapi sekumpulan kawan-kawan," kata Bross yang pertama kali merangkul Piala Negara-Negara Afrika dalam kariernya.
Sementara itu, jurulatih Mesir, Hector Cuper ternyata kecewa apabila sekali lagi mengalami kekalahan dalam perlawanan akhir selepas tewas dua kali pada aksi final Liga Juara-Juara Eropah bersama kelab Valencia.
"Saya berasa sedih bukan sahaja sebab kalah pada satu lagi aksi final.
"Saya sedih kerana terlalu banyak harapan yang diletakkan oleh rakyat Mesir dan saya berasa kasihan kepada pemain yang telah berusaha bersungguh-sungguh," katanya.
Sumber: mStar