CAP Cadang Harga Siling Kelapa Semasa Sambutan Thaipusam


GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) semalam mencadangkan agar kerajaan mengawal harga siling kelapa semasa perayaan Thaipusam bagi mengelakkan peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga.

Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) NV Subbarow berkata ia perlu dilaksanakan memandangkan permintaan kelapa yang tinggi setiap kali sambutan Thaipusam.

“CAP percaya kementerian berkenaan dapat mengawal harga siling kelapa seperti memperkenalkan skim kawalan harga pada musim perayaan untuk barang keperluan lain,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Beliau berkata CAP turut mendapat maklum balas daripada pemborong kelapa di negeri ini yang mendakwa hanya boleh membekalkan kira-kira 200,000 biji kelapa sempena Thaipusam 9 Feb ini sedangkan permintaan boleh mencecah lebih 500,000 biji.

Sementara itu tinjauan di pasar Pulau Tikus dan Batu Lanchang, di sini mendapati kelapa dijual antara RM2 hingga RM2.50 sebiji dan peniaga mendakwa harga itu akan naik lagi sempena perayaan Thaipusam ini.

Seorang pemborong kelapa P.Saravathy, 58, berkata beliau mendapatkan bekalan kelapa dari ladang di Kuala Bertam, Perak tetapi cuaca yang tidak menentu sejak beberapa bulan lepas menyebabkan pokok tidak menghasilkan buah yang banyak.

“Kami hanya dapat mengedar 60,000 biji kelapa pada sambutan Thaipusam tahun ini berbanding 120,000 biji tahun lepas dan kami masih jual dengan harga lama iaitu RM1.80 sebiji,” katanya. – BERNAMA