CEO Jet Peribadi Mewah Tampil Beri Penjelasan


PELBAGAI tanggapan negatif dilemparkan apabila wujudnya kelas pengajian Al-Quran dalam sebuah jet peribadi serba mewah yang ditawarkan kepada orang ramai sejak semalam.

Susulan pendedahan tular itu, Ketua Pegawai Eksekutif Elite Jets Sdn. Bhd., Kapten Salman tampil memberikan penjelasan berhubung program tersebut yang dipercayai pertama kali diadakan.

Menurutnya dalam satu kenyataan hari ini, program tersebut disediakan khusus untuk mereka yang memang berkemampuan atau jutawan bagi mendekatkan diri dengan pembacaan Al-Quran.

“Sama sahaja seperti pakej umrah bersama selebriti yang ada sekarang. Contohnya, umrah bersama ustaz tersohor dengan bayaran pakej sebanyak RM10k, bukan harga ustaz itu RM10K tapi harga pakej umrah itu,” katanya.

Kapten Salman berkata, pengajian bersama johan qariah tilawah Al-Quran peringkat antarabangsa 2009, Sharifah Khasif Fadzillah Syed Badiuzzaman adalah percuma dan hanya dikenakan bayaran menyewa jet peribadi tersebut.

Menurutnya, kos untuk menyewa jet peribadi memang mahal dan caj operasi setiap satu jam boleh mencecah AS$5,000 (RM22,245) bagi kos minyak, permit, insurans dan kos penyelenggaraan.

“Kami beri dia (pelanggan) pengajian Al-Quran percuma walau pun sekejap tapi ilmu yang dimiliki lebih berharga dan tiada ternilai.

“Dan sebenarnya Quran kalamullah harus diangkat tinggi martabatnya di mana jua dan di mana sahaja,” kata kapten tersebut.

Menyentuh mengenai bayaran yang bakal diperoleh mereka, jelasnya, keuntungan tersebut dibahagikan kepada beberapa bahagian.

“Ustazah Kasif akan salurkan pada madrasah Quran yang akan beliau tubuhkan sendiri, pecahan yang kedua untuk tahfiz daif yang memerlukan bantuan.

“Tidak lupa juga pada anak yatim dan rumah orang tua yang telah kami kenal pasti serta selebihnya ialah kos pengurusan syarikat dan penyelenggaraan pesawat,” katanya menerusi posting Facebook Sharifah Khasif.


Sebelum ini, media melaporkan mengenai perkhidmatan belajar mengaji dalam jet peribadi serba mewah yang dikendalikan oleh Elite Jets Sdn. Bhd. dengan kerjasama Sharifah Khasif Production Sdn. Bhd.

Laporan tersebut menerima pelbagai respon daripada netizen dan ada yang menganggap perkhidmatan berkenaan sebagai cuba mempergunakan agama untuk meraih keuntungan.

Namun, penjelasan daripada CEO khidmat menyewa jet peribadi ini diharap dapat memberikan gambaran lebih jelas mengenai perkhidmatan ditawarkan mereka yang secara terang memberi tumpuan kepada golongan yang berkemampuan. – Kedahnews.com