BEIJING - Seorang lelaki di China terpaksa menarik tocang isterinya yang mahu bunuh diri dengan terjun dari bangunan.
Wanita dari daerah Shiquan di wilayah Shaanxi tergantung di udara selama kira-kira tiga minit, apabila suaminya memegang rambutnya yang diikat, sebelum polis tiba dan menyelamatkan beliau, lapor Chinese Business View.
Wanita berusia 30-an itu terjun dari bumbung bangunan pada ketinggian 20 meter selepas berlaku pertelingkahan dengan keluarganya, Ahad.
Pasangan itu adalah penyewa pangsapuri di tingkat atas bangunan itu.
Pegawai polis, Zuo Yu, memberitahu akhbar itu: "Apabila tiba, kami melihat suaminya menggenggam tocangnya, tetapi isterinya nyaris jatuh. Jika kami lewat beberapa saat atau suaminya tidak dapat bertahan untuk beberapa saat lagi, mustahil untuk beliau selamat."
Sebuah video yang tersebar di internet menunjukkan seorang pegawai polis memanjat halangan untuk menyelamatkan wanita tersebut, dengan beberapa rakan memegang bajunya untuk mengelak dirinya jatuh.
Polis berkata sebahagian daripada tubuh wanita itu 'ditahan' oleh paip berukuran 30 sentimeter lebar, yang membantu menyokong berat badannya.
Polis berkata tanpa sokongan paip tersebut, wanita itu tetap akan jatuh walaupun dengan usaha suaminya.
Wanita itu, yang sangat beremosi, sentiasa menjerit supaya dirinya dilepaskan walaupun selepas polis berjaya menarik salah satu tangannya.
Akhbar itu memetik kajian yang menyatakan kira-kira 2,000 helai rambut secara teori mampu menampung sehingga 30kg berat badan, tetapi keupayaan kulit kepala untuk menahan berat badan adalah terhad. -
Sumber: South China Morning Post