DAP Kata Nik Aziz Kerjasama Dengan Pakatan Harapan Jika Masih Hidup


ALOR SETAR – DAP mendakwa Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pasti akan menerima pelawaan kerjasama oleh Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sekiranya bekas Mursyidul Am PAS itu masih hidup.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, Allahyarham Nik Abdul Aziz juga pasti akan marah jika ada mana-mana pemimpin atau ahli PAS mendakwa beliau dan DAP anti-Islam serta ‘menyerang’ Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kini sekutu DAP.

“Jika DAP dan pemimpin DAP adalah anti-Melayu dan anti-Islam, kenapa PAS menganggotai Pakatan Rakyat sepanjang 2008 ke 2013?

‘Kalau DAP anti-Melayu dan anti-Islam, adakah Nik Aziz akan menziarahi mantan Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh di kediamannya di Pulau Pinang semasa perayaan Thaipusam pada Januari 2013?” dakwanya dalam satu kenyataan media baru-baru ini.

Justeru, Kit Siang percaya Allahyarham Nik Abdul Aziz tidak akan mempunyai masalah untuk menyokong aspirasi DAP bahawa rakyat Malaysia tidak perlu mengambil kira tentang agama atau kaum dalam sesuatu perkara sebaliknya bersama sebagai Bangsa Malaysia jika masih hidup.

Bagaimanapun, beliau percaya PAS dibawah pimpinan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi sangat berbeza dengan pimpinan Allahyarham Nik Abdul Aziz maka tidak mampu menyokong aspirasi DAP tersebut.

Sehubungan itu, katanya, Pakatan Harapan dan PPBM perlu memastikan semangat dan kenangan Allahyarham Nik Abdul Aziz kekal dalam PAS supaya ahli dan penyokong parti itu menyokong agenda Pakatan Harapan dan PPBM.

Katanya, Pakatan Harapan dan PPBM perlu juga mendapatkan sokongan 3.5 juta ahli dan pengundi UMNO melalui bantuan Mahathir untuk menumbangkan UMNO.

PAS disingkirkan oleh DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) daripada Pakatan Rakyat dua tahun lalu kerana enggan tunduk dalam beberapa isu akidah Islam yang dikhuatiri boleh menjejaskan sokongan bukan Islam.

DAP dan PKR kemudian menubuhkan Pakatan Harapan bersama Parti Amanah Negara (PAN) yang kononnya ditubuhkan bagi menggantikan PAS dalam gabungan parti pembangkang.

Pakatan Harapan seterusnya menandatangani perjanjian kerjasama dengan PPBM, manakala PAS tetap dengan berpendirian serik untuk bekerjasama dengan parti-parti pembangkang yang hampir memusnahkan PAS dari dalam itu.

PAS sebaliknya konsisten mengetuai Gagasan Sejahtera yang turut disertai parti Ikatan dan mempelawa PKR serta PPBM untuk menyertai blok ketiga itu, namun ia ditolak mentah-mentah malah menyindir ia hanya akan menyebabkan pembangkang tewas teruk. - Kedahnews.com