Dibuang Sekolah Hanya Kerana Pelajar Takut Lihat Wajahnya


SEORANG remaja perempuan di India digelar ‘manusia ular’, akibat menderita penyakit ganjil yang menyebabkannya ‘bersalin kulit’ setiap enam minggu.

Shalini Yadav, 16 tahun, menghidap penyakit kulit Erythroderma iaitu sejenis radang kulit atau dikenali sebagai ‘red man syndrome’ yang mana para doktor belum menjumpai rawatan untuk mengubatinya.

Malangnya oleh kerana kondisi yang berbeza daripada remaja seusianya, dia dibuang sekolah kerana rakan sekelasnya takut dengan dirinya.

“Saya mahu belajar di sekolah seperti rakan-rakan sebaya yang lain, namun dibuang sekolah hanya kerana pelajar lain takut melihat wajahnya.

“Semua orang dalam keluarga saya menderita akibat penyakit saya ini.

“Tapi apakah salah saya? Apa dosa yang saya lakukan hingga menghidap penyakit seperti ini? Saya mahu hidup. Tolonglah saya, jika anda mampu,” luahnya.

Shalini juga difahamkan perlu merendam badannya di dalam air setiap satu jam dan menyapu krim pelembab selang tiga jam untuk mengelak daripada kulitnya menjadi kering dan menggelupas.

Namun oleh kerana ibu bapanya tidak mampu membeli krim tersebut, Shalini terpaksa menahan sakit dan membiarkan kulitnya terkupas setiap enam minggu.

Luluh hati si ibu, Devkunwar melihat penderitaan yang ditanggung oleh anak perempuannya itu sejak dari kecil lagi.

“Kami telah berjumpa beberapa doktor namun tiada satu pun yang mampu mengubatinya dan keadaan Shalini bertambah teruk.

“Saya tidak berdaya melihat kesakitan yang ditanggungnya saat kulitnya menggelupas.

“Penyakit ini tidak membunuhnya tapi mengambil nyawanya sedikit demi sedikit,” luahnya.

Shalini mempunyai dua adik iaitu Sejal, 15 tahun dan Price, 8 tahun, namun kedua-duanya dilahirkan normal dan tidak menghidapi penyakit yang dialaminya. -Kedahnews.com