Ekonomi Malaysia Tumbuh 4.2 Peratus Pada 2016


KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan 4.5 peratus pada suku keempat 2016, disokong oleh peningkatan berterusan perbelanjaan sektor swasta, yang menjurus kepada pertumbuhan 4.2 peratus bagi keseluruhan 2016.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2016 bagaimanapun lebih rendah daripada 5 peratus dan 6 peratus yang direkodkan masing-masing pada 2015 dan 2014.

Dari segi penawaran, pertumbuhan terus dipacu oleh sektor perkilangan dan perkidmatan, kata Bank Negara Malaysia (BNM) semalam.

Berdasarkan asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi negara mencatat pertumbuhan mampan sebanyak 1.4 peratus (3Q 2016:1.4 peratus), katanya.

“Walaupun persekitaran luar akan kekal mencabar, ekonomi Malaysia akan melalui pertumbuhan mampan dengan permintaan domestik menjadi pemaju utama,” kata bank pusat dalam satu kenyataan.

BNM berkata penggunaan swasta dijangkakan terus disokong oleh pertumbuhan upah dan guna tenaga, dengan dorongan tambahan menerusi pengumuman langkah-langkah kerajaan untuk menyokong pendapatan boleh guna isi rumah.

“Aktiviti pelaburan akan terus ditegarkan pada pelarasan projek-projek infrastruktur secara berterusan serta perbelanjaan modal dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan,” kata BNM. - Kedahnews.com