Elok Mahfuz Isytihar Keluar Parti - Naib Presiden PAS


ALOR SETAR - Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar diminta keluar parti meninggalkan PAS dari berterusan menyerang dan mengkritik parti dengan kritikan tidak membina di khalayak umum.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menegaskan bahawa kritikan dan serangan Mahfuz sebelum ini sememangnya langsung tidak diendahkan parti.

“Seelok-eloknya dia yang keluar, daripada jadi macam sekarang ini, tidak tahu ke mana, duduk dalam PAS tapi serang PAS.

"Kritik PAS, baik dia isytihar keluar, buat apa duduk lama-lama dalam PAS,” kata Mohd Amar, membidas bekas Pesuruhjaya PAS Kedah itu, semalam.

Mohd Amar diminta mengulas mengenai kritikan Mahfuz yang menggesa PAS keluar dari Kerajaan Negeri Selangor gara-gara kecewa dengan tindakan PAS yang memutuskan untuk tidak bekerjasama lagi dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), baru-baru ini.

Kata Mahfuz, PAS perlu keluar dari Kerajaan Negeri Selangor dan memutuskan hubungan dengan PKR kerana parti itu juga sama seperti PPBM yang bersekongkol dengan DAP dan Parti Amanah Negara (PAN).

PAS sebelum itu mahu PPBM meninggalkan Pakatan Harapan yang diketuai DAP dan menyertai Gagasan Sejahtera yang diketuai parti Islam tersebut, serta menegaskan tidak akan sesekali bersekongkol dengan parti yang menjalin kerjasama dengan DAP dan PAN.

Pendirian PAS tersebut mencetus kemarahan PPBM khususnya Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad yang sengaja memberikan masa sebulan lagi kepada PAS untuk bekerjasama, namun memberi amaran pihaknya tidak akan merayu pada PAS lagi.

Difahamkan Mahfuz masih merupakan ahli PAS dan dikatakan enggan keluar dari PAS ekoran terikat dengan bai'ah ketika mengangkat sumpah sebagai calon pilihan raya pada 2013. -Kedahnews.com