Exco Kedah Bantah Cadangan Ku Nan Ambil Langkawi


ALOR SETAR - Cadangan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor untuk menjadikan Pulau Langkawi sebagai sebahagian dari Wilayah Persekutuan dibantah oleh Exco Kerajaan Negeri, Datuk Tajul Urus Mat Zain.

Tegas Tajul Urus, pulau lagenda itu merupakan sebahagian dari daerah Kedah yang amat penting dan Tengku Adnan lebih wajar untuk tidak meneruskan cadangan yang disifatkan tidak masuk akal itu.

"Hasrat menjadikan Langkawi sebagai sebahagian kawasan Wilayah Persekutuan itu cadangan tidak masuk akal. Saya tidak setuju langsung.

"Langkawi ialah jajahan di bawah Kedah. Jika Tengku Adnan mahu ambil sila fikir cara lain," katanya Ahli Dewan Undangan (Adun) Tanjung Dawai itu, memetik laporan FMT, hari ini.

Tengku Adnan atau mesra dengan panggilan Ku Nan baru-baru ini mencetus kontroversi dengan cadangan bersahaja mengimpikan Pulau Langkawi, Pulau Pinang dan sebahagian dari negeri Melaka untuk dijadikan sebahagian dari Wilayah Persekutuan.

Sebelum ini, tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjadikan Putrajaya sebagai sebahagian dari Wilayah Persekutuan turut dibantah ramai pihak, khususnya parti-parti politik pembangkang.

Namun Putrajaya yang merupakan sebahagian dari Selangor itu tetap diisytihar Mahathir sebagai sebahagian dari Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 2001 tanpa mempedulikan suara-suara bantahan yang dikemukakan ketika itu. -Kedahnews.com