Farra "Bagaikan Puteri" Bakal Jadi Guru Mengaji Al-Quran


Penyanyi yang pernah popular dengan lagu Bagaikan Puteri sekitar dekad 1990-an, Farra tidak mahu memandang ke belakang mengenai kisah hidupnya dalam dunia hiburan selepas berhijrah.

Farra atau nama sebenarnya Farihah Mohd. Arshad kini lebih selesa jika karier seni nyanyian diabadikan sebagai kenangan sahaja serta mahu berdakwah dan menyebarkan ilmu pendidikan.

Menerusi temubual penyanyi tersebut bersama Media Hiburan baru-baru ini melaporkan, dia kini sedang mendalami ilmu pembacaan Al-Quran dan ingin mengajar jika berkelayakan.

“Sesorang itu perlulah layak untuk mengajar jadi ada prosesnya dan saya kini dalam proses belajar sekarang,” katanya yang kini terlibat dalam perniagaan pakaian Muslimah.

Jelasnya, ilmu adalah penyelamat untuk manusia yang hidup di dunia semantara ini dan lebih banyak ilmu agama yang dipelajari, ia akan membawa perubahan dalam diri untuk menjadi lebih baik.

Menyentuh mengenai kehidupannya sebagai penyanyi sebelum ini, dia menjelaskan semua perkara tersebut tidak boleh dipadam dan tiada kekesalan apabila melibatkan diri dalam dunia hiburan.

“Saya tak boleh padam apa yang telah ditetapkan dahulu dan itu adalah kehidupan masa lalu.

“Itu adalah pengalaman yang tidak boleh dilupakan namun apa yang boleh dikatakan sekarang saya harap Allah ampunkan dosa saya,” kata penyanyi berusia 46 tahun itu.

Jelasnya, tidak pernah marah apabila lagunya menjadi halwa telinga dan dimainkan di corong radio dan televisyen kerana rentak lagu yang catchy itu cukup senang diingati. -Kedahnews.com