Fitnah: Presiden, Akhbar Rasmi PKR Terima Padah


ALOR SETAR - Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan akhbar rasmi PKR, Suara Keadilan menerima padah apabila diperintah membayar ganti rugi berjumlah RM70,000 kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan anak syarikatnya.

Perintah bayar ganti rugi tersebut dibuat Mahkamah Tinggi semalam atas kesalahan menerbitkan dua artikel berunsur fitnah pada 2010 terhadap Felda.

Keputusan dibuat oleh Timbalan Pendaftar Norfauzani Mohd Nordin setelah mentafsirkan ganti rugi tersebut, sambil ditemani peguam Nor Emelia Mohd Iszeham selaku mewakili plaintif.

Sementara itu, Wan Azizah diwakili peguam Francis Pereira, manakala Senator Dr Syed Husin Ali dan penulis artikel tersebut Rusnizam Mahat bertindak selaku defendan.

Ganti rugi sebanyak RM70,000 yang dikenakan terhadap semua defendan itu meliputi ganti rugi am, teruk dan teladan, selain itu pihak mahkamah turut mengarahkan kesemua defendan membayar faedah 8 peratus dari tarikh penghakiman yang bermula pada tarikh 17 Oktober 2014 hingga penyelesaian kes itu semalam.

Terdahulu, pada 16 Ogos 2010, Felda dan anak syarikatnya telah memfailkan saman terhadap Wan Azizah dan dua yang lain kerana menyebarkan dua artikal fitnah melalui Suara Keadilan.

Artikal berunsur fitnah tersebut bertajuk “Felda Bankrap” dan satu lagi artikel berserta gambar bertajuk “Kontroversi” dan “Bina Bangunan RM662 Juta Hanya Libatkan Tiga Individu”, ia dikeluarkan pada 22 dan 29 Jun 2010.

Tindakan memfitnah itu dipercayai mencemarkan imej Felda dan saman berjumlah RM200 juta terhadap ketiga-tiga defendan telah difailkan oleh Felda dan anak syarikatnya Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd dan dibenarkan Mahkamah Tinggi pada 17 Oktober 2014.

Sebelum saman difailkan, bekas editor Suara Keadilan, Dzulkarnain Taib telah membuat permohonan maaf terhadap Felda dan anak syarikatnya atas penerbitan 2 artikel itu, beliau akui ia hanya fitnah dan palsu demi menjatuhkan nama baik mereka. -Kedahnews.com