"Flood Flotilla For Myanmar" Bukan Sekadar Bantuan Biasa


PELABUHAN KLANG – Kapal ‘Nautical Aliya’ untuk misi ‘Food Flotilla For Myanmar’ berlepas semalam dan dijangka tiba di Yangon, Myanmar pada 8 Feb ini.

Misi itu disertai hampir 200 sukarelawan dan membawa 2,300 tan bantuan makanan dan ubat-ubatan untuk etnik Rohingya di Myanmar yang dianjurkan Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dengan kerjasama Yayasan Turkiye Diyanet Vakfi (TDV) dari Turki.

Ia bukan sekadar misi bantuan kemanusiaan, tetapi membawa mesej bahawa kezaliman terhadap etnik itu perlu dihentikan.

Ikuti temu bual wartawan BERNAMA, Anis Nabilla Md Wazilah bersama Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Mohd Azmi Abdul Hamid, yang turut serta dalam misi berkenaan.

BERNAMA: Apa misi ‘Food Flotilla For Myanmar’ ini sebenarnya?

MOHD AZMI: Misi ini bertujuan untuk menyampaikan bantuan kepada seramai mungkin masyarakat yang ditindas dan ia sebenarnya memberi mesej kepada dunia bahawa kezaliman terhadap etnik Rohingya di Myanmar itu, perlu dihentikan.

BERNAMA: Selain  bantuan makanan, apakah yang akan dilaksanakan sukarelawan misi ini?

MOHD AZMI: Kami turut merancang untuk memberi bantuan perubatan kepada 5,000 orang. Melalui bantuan makanan yang dibawa, kita jangka dapat membantu kira-kira 20,000 hingga 30,000 pelarian.

Kita harapkan kerajaan Myanmar dan Bangladesh memberi kebenaran untuk menyampaikan bantuan berkenaan.

BERNAMA: Apakah cabaran awal untuk misi ini?

MOHD AZMI: Kami mengambil hampir tiga bulan dalam menguruskan delegasi untuk misi ini, antaranya cabaran untuk mendapatkan kapal dan urusan bagi mendapatkan  keizinan Myanmar.

Banyak perbincangan telah dibuat, dan cabaran seterusnya adalah dana, kami telah lewatkan misi ini kerana tidak cukup dana dan rasa sangat bersalah, tetapi Alhamdulillah, akhirnya misi ini dapat dilaksanakan.

Kami juga sudah bersiap sedia dari pelbagai sudut, antaranya bahagian teknikal kapal dan apa yang kita bimbangkan adalah perubahan dari segi cuaca yang sentiasa berubah sepanjang perjalanan misi ini.

BERNAMA: Apakah harapan untuk misi ini?

MOHD AZMI: Sudah tentu harapan kami bukan sahaja kita dapat menyampaikan bantuan ini kepada mangsa tetapi apa yang dapat dilaksanakan lagi untuk membantu etnik berkenaan selepas ini.

Misi Flotilla ini hanya sebahagian, ada lagi yang kita perlu buat sehingga etnik itu terbela dan tidak lagi dibunuh serta diusir, itu matlamat kita. – BERNAMA