ALOR SETAR – Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang mengetuai misi kemanusiaan 'Food Flotilla For Myanmar' menafikan tuduhan segelintir netizen di laman sosial yang menyebarkan maklumat tidak benar mengenai misi kemanusiaan tersebut.
Tegas Presiden Kelab Putera 1Malaysia itu, dakwaan yang mengatakan kononnya 500 tan metrik bekalan makanan dan keperluan yang dihantar di pelabuhan Yangon telah dirampas oleh tentera Myanmar seperti yang dihebohkan sebenarnya adalah palsu sama sekali.
"Penghantaran akan dilaksanakan dalam masa terdekat dan rakyat Malaysia jangan percaya khabar angin kononnya barang ini dirampas. Ia palsu semata-mata,"katanya dalam satu kenyataan semalam.
Jelas beliau, bekalan makanan dan keperluan yang disediakan untuk masyarakat Rohingya di wilayah Rakhine sekarang ini berada di gudang pelabuhan dan masih lagi dalam proses penghantaran.
Tambah Abdul Azeez, pihak mereka akan membuat pemantauan ketat bagi memastikan bekalan yang dikhaskan kepada etnik Rohingya itu sampai ke tangan mereka tanpa berlaku sebarang sekatan.
"Penghantaran bekalan ini akan dipantau Duta Malaysia di Myanmar Mohd Hanif Abdul Rahman untuk memastikan ia sampai kepada masyarakat Rohingya.
"InsyaAllah, kita akan usahakan yang terbaik dan harap rakyat Malaysiadoakan kita dapat turun dan salurkan bantuan," katanya lagi.
Kapal Nautical Aliya pada Khamis lalu berlabuh di pelabuhan Yangon untuk menghantar bantuan untuk manfaat komuniti Rohingya di negara itu, sebelum meneruskan pelayaran ke Chittagong. –Kedahnews.com