Frost Enggan Mengulas Berdepan Kemarahan Chong Wei


KUALA LUMPUR – Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen mengambil tindakan kunci mulut mengenai kontroversi hubungannya dengan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.

Hubungan Chong Wei dan Frost jelas kelihatan bermasalah apabila mereka berdua kelihatan tidak bertegur sapa ketika berselisih di Akademi Badminton Malaysia (ABM) pagi semalam.

"Saya tidak ada apa-apa komen. Banyak perkara yang perlu saya fikirkan. Mengenai gelanggang itu, saya fikir lebih baik tanya Pengurus Besar BAM Lawrence Chew.

"Setakat ini saya tidak terima sebarang laporan mengenai kecederaan pemain lain selepas menggunakan gelanggang itu (kecuali Chong wei)," katanya kepada pemberita di ABM, Bukit Kiara di sini semalam.

Chong Wei mengalami kecederaan MCL (Medial Collateral Ligament) pada Sabtu dan telah menyalahkan pihak BAM kerana tidak menghiraukan aduannya sebelum ini mengenai permukaan gelanggang baharu yang licin serta mengundang bahaya kepada pemain.

Kecederaan itu menyebabkan Chong Wei terpaksa melupakan hasratnya bertanding pada Kejohanan All England, Mac ini.

Namun kecederaan Chong Wei bukan isu utama kerana pemain nombor satu dunia itu dengan lantang mempersoalkan kenyataan Frost yang menyebut tentang persaraannya dalam arena badminton kepada jurulatih Hendrawan.

Chong Wei berkata Frost sepatutnya bersemuka dengan beliau sekiranya mahu bercakap soal persaraan beliau dan bukannya melalui pihak ketiga.

Isu dua ikon badminton itu bukan satu perkara baharu malah kes mereka kaliini bukan disebabkan kecederaan sahaja tetapi lebih bersifat peribadi kerana ia merupakan kesinambungan perbalahan yang pernah tercetus pada 2015.

Frost dikatakan tidak membenarkan jurulatih Tey Seu Bock mengiringi Chong Wei ke Terbuka Jepun ketika itu. – BERNAMA