Gen-Y Kedah Diingatkan Tak Biar Dipengaruh Pihak Yang Hanya "Kejar Kuasa"


ALOR SETAR - Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak mengingatkan rakyat terutama generasi muda agar tidak mudah terpana dengan janji-janji manis pihak tertentu yang hanya mahu berkuasa, tetapi akhirnya tidak menunaikan janji mereka.

Mengungkap ungkapan tradisi Melayu "Dengar Guruh Di Langit, Air Tempayan Dicurahkan", beliau berkata mereka yang menjanjikan pelbagai perkara itu belum tentu dapat membawa perubahan kepada kesejahteraan rakyat.

"Untuk sampai ke destinasi kita (negara yang lebih berjaya), kita kenalah tentukan kesinambungan dalam pemerintahan negara.

"Kita kena lihat siapa yang mampu membuat perubahan dalam negara, jangan nak sesuatu tapi tolak apa yang ada," katanya berucap pada program Gen Y Bersama Perdana Menteri di Dataran Alor Setar di sini, pagi tadi.

Turut hadir di majlis berkenaan, isteri Perdana Menteri merangkap Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti), Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Turut hadir di program berkenaan adalah Menteri-Menteri kanan, Menteri-Menteri Besar Negeri, Exco-Exco Kerajaan Negeri, Adun-Adun BN dar seluruh negara, Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Kerajaan.

Selain itu, Perdana Menteri berkata kepimpinan ketika ini beriltizam untuk mewariskan negara yang jauh lebih baik daripada "apa yang kami waris daripada kepimpinan sebelum ini".

Mengambil contoh 'Arab Spring' beliau berkata sekalipun pihak barat menganggap ia satu perubahan besar, hakikatnya revolusi itu tidak menjanjikan sesuatu yang lebih baik untuk rakyat negara-negara terbabit.

"Tapi hari ini yang (negara) terlibat dalam Arab Spring kini kucar kacir, masih berlaku perang saudara yang amat besar dan konflik politik masih berterusan," katanya.

Najib berkata ini menunjukkan pemerintahan yang terencat dalam bentuk revolusi atau secara mengejut tidak pernah menjanjikan sesuatu yang indah kepada rakyat.

"Ada negara yang terlibat dalam Arab Spring kini berhutang beratus juta USD dengan Petronas, ini kerana mereka tak mampu membayar kerana negara berkenaan tidak ada kestabilan politik dan kepimpinan yang kukuh," ujar beliau.

Justeru beliau berkata rakyat perlu terus memberi kepercayaan kepada kerajaan sedia ada untuk meneruskan agenda kesinambungan untuk kesejahteraan rakyat.

Terdahulu pada majlis itu, Najib berbasikal sejauh tiga kilometer bersama-sama peserta Gen Y serta bersantai menyaksikan pelbagai aktiviti dalam program itu antaranya pertunjukan fesyen kreativiti Gen-Y tempatan, senamrobik, malah turut berswafoto bersama ribuan generasi muda Kedah. -Kedahnews.com