Gooi Cabar Ahmad Bashah Perjelas RM23.73 Juta Untuk Alor Setar


ALOR SETAR - Ahli Parlimen Alor Setar, Gooi Hsiao Leung mencabar Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menjelaskan tentang peruntukan sebanyak RM23.73 juta yang kononnya diperoleh bagi kawasan parlimen yang diwakilinya.

Pemimpin PKR itu mendakwa, sebanyak RM23.73 juta telah diagihkan kepada kawasan Parlimen Alor Setar bermula dari bulan Mei 2013 hingga September 2016.

"Saya cabar Ahmad Bashah untuk menafikan secara terbuka bahawa beliau tidak mengetahui apa-apa peruntukan seperti di atas atau RM23.73 juta telah diagihkan kepada Alor Setar," kata pemimpin PKR itu, memetik laporan portal pro-pembangkang, Malaysiakini.

Gooi mendakwa bahawa RM23.73 juta itu adalah merupakan peruntukan khas Perdana Menteri yang diagih-agihkan ke Parlimen Alor Setar menerusi pejabat pembangunan Persekutuan di negeri ini.

Walau bagaimanapun, Ahli Parlimen PKR itu difahamkan tidak mengemukakan bukti berkenaan dakwaan tersebut, namun mendakwa Ahmad Bashah perlu menjawab persoalan itu bagi pengetahuan rakyat Kedah.

"Ahmad Bashah perlu tampil bersih dan mendedahkan sepenuhnya peruntukan khas sebanyak RM23.73 juta yang sepatutnya diberikan kepada Alor Setar.

"Rakyat Kedah berhak untuk tahu bagaimana wang mereka dibelanjakan," katanya lagi.

Ahmad Bashah sebelum ini mengatakan bahawa rakyat di kawasan parlimen yang dikuasai pembangkang di negeri ini rugi kerana tidak dapat menikmati peruntukan yang dianggar bernilai RM30 juta sepenggal berbanding 10 lagi Parlimen BN di Kedah.

Namun begitu, peruntukan dari Kerajaan Persekutuan itu diberi terus kepada rakyat menerusi jabatan dan agens-agensi kerajaan dengan kerjasama pegawai penyelaras Parlimen berkenaan, dan tidak melalui wakil rakyat pembangkang.

Beliau turut menggesa wakil-wakil rakyat pembangkang supaya berusaha mencari peruntukan bagi kepentingan kawasan yang diwakili demi rakyat yang mahu melihat perubahan positif di kawasan mereka.

Jelasnya, wakil-wakil rakyat BN sebelum ini bertungkus-lumus berusaha mendapatkan peruntukan ketika menjadi pembangkang di era sepenggal pemerintahan Pakatan Rakyat sebelum ini. - Kedahnews.com