Guan Eng Lancar Kempen "Saya Sayang Pulau Pinang"


GEORGE TOWN – Kerajaan DAP Pulau Pinang semalam melancarkan kempen ‘Saya Sayang Pulau Pinang’ untuk mempertahankan negeri itu daripada menjadi sebahagian daripada Wilayah Persekutuan.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata kempen itu sebagai tanda kerajaan negeri menolak cadangan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang mahu memperluas Wilayah Persekutuan dengan memasukkan Pulau Pinang.

“Pagi ini dalam mesyuarat exco kami membuat keputusan untuk melancarkan kempen ‘Saya Sayang Pulau Pinang’ untuk seluruh negeri Pulau Pinang. Kempen ini berdasarkan sayang ke atas negeri sendiri.

“Kami tidak akan lawan benci dengan benci. Tapi kami akan lawan dengan kasih sayang. Itu sebab kami nak mempertahankan Pulau Pinang dengan kempen sayangkan Pulau Pinang,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Dalam temu bual dengan stesen radio berteraskan kandungan perniagaan, BFM pada 1 Feb lalu, Tengku Adnan berkata beliau mahu perluaskan Wilayah Persekutuan untuk memasukkan Pulau Pinang, Langkawi, Kedah dan sebahagian Melaka.

Negeri-negeri berkenaan akan terletak di bawah pentadbiran Putrajaya secara langsung dan Tengku Adnan mendakwa dengan pembabitan kerajaan persekutuan, negeri terbabit akan mendapat lebih peruntukan dan lebih perhatian. – BERNAMA