Guan Eng Ungkit Jasa DAP, Kit Siang Kepada 4 Bekas Wakil Rakyat


ALOR SETAR - Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang meluahkan perasaan terkejut dan tidak menyangka empat wakil rakyat DAP di Melaka sanggup bertindak keluar parti gara-gara pertelagahan pandangan di dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC).

Meluahkan kekesalan atas tindakan empat bekas pemimpin DAP itu, Guan Eng turut mengungkit segala kebaikan yang pernah diterima mereka dari parti tersebut, termasuk jasa bapanya, Lim Kit Siang terhadap Ahli Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him.

"Malah peletakan jawatan oleh empat wakil rakyat juga dilihat di luar jangkaan kerana sebelum ini, Tong Him dipilih oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang secara peribadi untuk bertanding PRU pada 1986.

“Beliau juga sebelum ini telah diselamatkan Kit Siang dari dibuang parti selepas bertanding sebagai calon Bebas dalam PRU pada 2013 menentang calon DAP di kerusi Dun Kota Laksamana," katanya semalam.

Mengulas lanjut mengenai Tong Him, Guan Eng turut mengungkit tentang ikrar dan taat setia yang dilafazkan Ahli Parlimen Kota Melaka itu setelah menganggotai DAP selama 35 tahun.

"Pada ketika itu, kita percayai beliau mungkin hilang punca dan akan kembali setia kepada parti dan rakyat. Ini kerana, beliau kerap mengungkap hidup dan matinya tetap bersama DAP.

"Namun, dengan apa yang dilakukannya ini, jelas menunjukkan beliau melanggar ikrar dan janjinya, bukan sahaja kepada parti tetapi rakyat yang menyokong DAP. 

"Saya sedih apabila mengetahui beliau akan meninggalkan parti setelah menyertai DAP selama 35 tahun tanpa sebarang masalah," ungkit Guan Eng.

Empat wakil rakyat DAP, Adun Duyong, Goh Leong San; Adun Bachang, Lim Jak Wong dan Adun Kesidang, Chin Choong Seong termasuk Tong Him sebelum ini mengumumkan keluar parti kerana sudah hilang kepercayaan kepada pucuk kepimpinan DAP. -Kedahnews.com