Guna "Kad Debit" Tanpa Had Dalam Syurga


"INI kad debit yang beta hadiahkan pada kamu. Kamu berhak pakai dengan bebas tanpa batasan," jelas sang raja kepada rakyat kesayangannya.

“Benar Tuanku? Kalau saya pakai untuk beli rumah bernilai RM300 juta sekalipun Tuanku tak kisah?” Si rakyat kecil cuba bergurau dengan sang raja.

“Sila! Semuanya akan beta tanggung dan bayar. Usahkan jumlah RM300 juta, kalau kamu pakai sejumlah RM10 bilion sekalipun, beta akan bayar bagi pihak kamu kerana beta memang sayangkan kamu. Kekayaan beta langsung tidak terjejas dengan perbelanjaan kamu.” Penegasan sang raja ini pasti akan menyebabkan si rakyat kecil jatuh pengsan.

Dialog itu hanyalah suatu analogi mustahil yang cuba dibawakan bagi memahamkan kita semua makna firman Allah dalam nota kali ini. Dialog yang dibawa Allah dalam Surah Ghafir ini adalah nasihat lelaki beriman dalam kalangan bangsa Firaun kepada kaumnya agar segera beriman kepada Allah:
“Sesiapa yang mengerjakan sesuatu perbuatan jahat maka dia tidak dibalas melainkan dengan kejahatan yang sebanding dengannya; dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh - dari lelaki atau perempuan - sedang dia beriman, maka mereka itu akan masuk syurga; mereka beroleh rezeki dalam syurga itu dengan tidak dihitung,” (Ghafir [40:40]).
Allah sengaja menggunakan perkataan “rezeki tanpa hitungan atau audit” dalam ayat ini sebagai pemangkin rasa bagi kita semua mencapai nikmat syurga. Hebat! Ahli syurga bebas menikmati atau menggunakan apa sahaja nikmat syurga tanpa bimbang kehabisan kuota atau kelayakan.

Kelebihan tersebut sangat berbeza dengan realiti hidup di dunia. Nikmat dan kelebihan duniawi ada kuota atau auditnya. Jika sebarang kuasa duniawi disalah guna melebihi kelayakan atau kuota, maka si pulan itu akan disiasat pihak berkuasa dan bakal menerima padahnya.

NIKMAT SYURGA TANPA HAD

Banyak sekali Allah menyatakan kuota nikmat syurga tidak akan putus, antaranya:

1. Firmah Allah SWT:
“Dan puak kanan, - alangkah bahagianya keadaan puak kanan itu? Mereka bersenang-lenang di antara pohon bidara yang tidak berduri. Dan pokok pisang yang tersusun rapi buahnya, dan naungan yang tetap terbentang, Dan air yang sentiasa mengalir, serta buah-buahan yang banyak, yang tidak putus-putus dan tidak pula terlarang mendapatnya,” (al-Waqi’ah [56:27-33]).
2. Juga firman Allah:
"Sifat syurga yang dijanjikan kepada orang yang bertakwa itu ialah air sungainya sentiasa mengalir di sekitar tamannya; makanannya kekal tidak putus dan naungannya sentiasa teduh. Itulah kesudahan usaha orang yang bertakwa, sedang kesudahan usaha orang yang kafir pula ialah neraka," (al-Ra’du [13:35]).
3. Tambah manis, segala ganjaran nikmat syurga ini diperoleh dengan rahmat dan kasih sayang Allah. Rahmat Allah pula sentiasa terbuka untuk hamba-Nya:

Allah berfirman:
“Azab-Ku akan Aku timpakan kepada sesiapa yang Aku kehendaki, dan rahmat-Ku meliputi segala sesuatu; maka Aku akan tentukannya untuk orang yang bertakwa, dan yang memberi zakat, serta orang yang beriman kepada ayat Kami,” (al-a’raf [7:156]).
Bukti lain keluasan rahmat Allah yang menjadi pelincir laluan ke syurga ialah mudahnya mengumpul gandaan pahala berbanding dosa.

Firman Allah:
“Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (balasan) 10 kali ganda (daripada kebaikan) yang sama dengannya; dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka dia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya; sedang mereka tidak dianiaya (sedikit pun),” (al-An’am [6:160]).
Juga firman Allah:
“Sesiapa yang datang membawa amal baik (pada hari akhirat) maka baginya balasan yang lebih baik daripadanya; dan sesiapa yang datang membawa amal jahat, maka mereka yang melakukan kejahatan tidak dibalas melainkan dengan apa yang mereka kerjakan,” (al-Qasas [28:84]).
Setelah faham betapa hebatnya nikmat tanpa batasan syurga dan mudahnya laluan kita ke sana, maka amat rugi orang yang masih malas berusaha kepadanya.

Mereka yang malas umpama seorang lelaki yang rela mati kelaparan kerana malas bergerak ke dapur mengambil makanan lazat lagi berzat di bawah tudung saji yang sudah sedia terhidang.

Jangan sesekali memperbodohkan diri, beramal segera kerana kita semestinya tidak rela mati bodoh!

Sumber: ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM AL-HAFIZ/Utusan