Hakim Sekat Kuasa Larangan Anti-Islam Donald Trump


NEW YORK - Seorang hakim persekutuan mengeluarkan arahan di seluruh Amerika Syarikat (AS) untuk menyekat larangan yang dikuatkuasakan Presiden Donald Trump terhadap golongan pelarian dan rakyat dari tujuh negara Islam memasuki negara ini.

Arahan sementara yang dikeluarkan oleh Hakim Daerah AS, James Robart di Seattle pada Jumaat, adalah sah sementara menunggu kajian menyeluruh ekoran aduan yang dikemukakan oleh Peguam Negara, Bob Ferguson.

"Perlembagaan memperoleh kemenangan pada hari ini (Jumaat).

"Tiada sesiapa mampu mengatasi undang-undang termasuk Presiden," kata Ferguson yang menyifatkan keputusan hakim itu sebagai satu sejarah besar.

"Tiada semua pihak setuju dengan keputusan ini dan saya yakin Presiden sendiri tidak suka.

"Tetapi sudah menjadi tugas, tanggungjawab dan patuh sebagai Presiden untuk menuruti arahan tersebut," katanya.Keputusan hakim itu bukan yang pertama mencabar larangan perjalanan yang dikuatkuasakan oleh Trump sejak seminggu lalu.

Namun keputusan berkenaan merupakan kejayaan paling besar untuk menyekat arahan daripada Presiden.

Menurut Ferguson, berdasarkan keputusan itu, mana-mana individu yang memiliki visa sah boleh memasuki negara ini.

Jabatan Kehakiman dalam pada itu tidak menyatakan sama ada mahu mengemukakan rayuan terhadap keputusan hakim berkenaan tetapi akan memikirkan langkah seterusnya selepas mengkaji arahan tersebut.

Sementara itu, White House berkata, pihak kerajaan akan mengemukakan rayuan secepat mungkin bagi memastikan larangan berkenaan kembali berkuatkuasa.