Hanya Berlauk Ikan "Darat", Mamah Pucuk Paku Keliling Rumah

Wakil KBSB menyampaikan sumbangan di kediaman Norazizah di Parit 5 Gambut Sungai Panjang.
SABAK BERNAM - "Kami makan ala kadar saja, asalkan perut kenyang...makan pucuk ubi dan pucuk paku yang ada di sekeliling rumah dah sebati dengan kami," kata ibu dua anak Orang Kurang Upaya (OKU) Norazizah Sardi, 47.

Norazizah berkata, mereka sekeluarga hidup serba kekurangan akibat kesempitan hidup, malah terpaksa mengerah keringat menjala ikan di parit dan sungai.

"Kalau nak makan lauk pula, sesekali saya menjala ikan...dapatlah ikan sepat, puyu, haruan dan tilapia untuk dibuat lauk," katanya.

Norazizah yang mempunyai empat anak terpaksa menggalas tanggungjawab menyara keluarga selepas terpaksa berjauhan dengan suami yang mencari rezeki di Rawang.

"Bila suami balik, ada juga sesekali dia bantu beri wang untuk beli barang dapur," katanya.

Dia yang menetap di Parit 5 Gambut, Sungai Panjang berkata, dua anaknya iaitu, Nor Hafizah Kamaruddin, 26 dan Radatul Afida,  23, dikategorikan sebagai OKU selepas menghidap demam panas ketika berusia tiga tahun.

"Kesan daripada itu, anak-anak saya alami masalah saraf dan masalah pembelajaran.

"Mereka tak pernah ke sekolah akibat kesempitan hidup yang saya dilalui," katanya.

Menurutnya, dua lagi anaknya iaitu anak sulungnya, Mohd Amninuddin, 27, sudah berkeluarga, manakala anak bongsu pula, Nor Amiera, 21, baharu sebulan bekerja di sebuah kilang di Rawang.

Selain itu, Norazizah yang merupakan anak sulung daripada 15 adik-beradik turut menjaga ibunya, Seripah Omar, 65, dan seorang adiknya, juga seorang OKU, Mohamad Yusof Noh Sardi, 26.

"Emak dan adik OKU tinggal di rumah bersebelahan. Emak ada dapat bantuan Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial) RM360 sebulan, tapi adik saya yang menghidap sindrom down sejak lahir tak pernah terima sebarang bantuan," katanya yang kematian bapa kira-kira 19 tahun lalu.

Bagi menampung kehidupan harian, Norazizah gagahkan diri mengambil upah menebas rumput dalam parit dengan upah kira-kira RM350 sebulan selain turut menjadi anggota Jabatan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) sejak 1992.

"Tebas rumput bukannya pekerjaan tetap saya. Bila dipanggil kontraktor kerja selenggara parit di kawasan berhampiran, adalah duit untuk kami anak beranak," katanya.

Pada masa sama, Norazizah juga mengakui rumah yang didiami sekarang mengalami kerosakan dan kurang selesa.

"Beberapa bahagian bumbung rumah bocor dan terdapat keretakan yang agak ketara pada dinding berhampiran pintu utama selain pintu yang sudah reput," katanya.

Sementara itu, nasib keluarga itu mendapat perhatian sebuah badan bukan kerajaan (NGO) tempatan, Kulaan Banjar Sungai Besar (KBSB) yang menyumbangkan barangan keperluan asas dan beberapa peralatan termasuk tong gas dan tikar getah.

Setiausahanya, Rahimah Samsi berkata, kesemua sumbangan itu adalah hasil sumbangan ahli sendiri.

"Harapan kami, sumbangan ikhlas ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban mereka sekeluarga agar mereka juga dapat merasai kegembiraan seperti keluarga yang lain," tambahnya.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional 101234100005865 atas nama Norazizah Sardi.

Sumber: Sinar Harian