Hanya Parti Kerdil Saja Layak Bernaung Bawah PAS, Bukan PKR Atau PPBM - PAN


ALOR SETAR- Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (PAN) Kelantan, Che Ibrahim Mohamed mendakwa hanya parti-parti kerdil sahaja yang layak untuk bernaung di bawah blok ketiga pembangkang yang diketuai PAS.

Tambah Che Ibrahim, PKR dan PPBM bukanlah sebuah parti yang kerdil seperti  Berjasa dan Ikatan, parti besar seperti mereka tidak layak untuk bersama PAS.

"Mereka mempunyai banyak kelebihan,antaranya lagi ialah bijak memahami senario politik Malaysia. Mustahil perkara tersebut berlaku.

"Lagi pun PKR sudah lama bersama DAP dalam Pakatan Rakyat dan kini sekali lagi bersama DAP dan PAN, sebelum PPBM turut mengambil sikap untuk bersama-sama dalam Pakatan Harapan," katanya, memetik laporan Sinar Harian.

Selain itu, beliau turut mendakwa bahawa cadangan PAS agar PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) meninggalkan Pakatan Harapan (PH) yang diketuai oleh DAP untuk menyertai blok ketiga itu bagaikan usaha seekor ular lidi mengajak ular sawa mencari makan bersamanya.

Sebaliknya kedua parti tersebut mempunyai pemimpin yang berpengaruh dan jauh lebih matang dari blok ketiga yang diketuai parti Islam itu.

Tegas pemimpin PAN itu, adalah sangat mustahil dalam dunia politik untuk PKR dan PPBM membuat keputusan meninggalkan PH kerana pakatan tersebut mempunyai ikatan yang kuat dan kukuh.

Katanya, tidak mungkin bagi kedua parti tersebut untuk bersama dengan blok ketiga yang kini masih tiada hala tuju.

Che Ibrahim turut berkata PAS seolah-olah sedang berdrama apabila mengundang PKR dan PPBM untuk bersama mereka dalam misi menewaskan Barisan Nasional (BN), sedangkan secara jelas kini PAS menjalin hubungan baik dengan BN.

"Pas hanya boleh bekerjasama dengan mana-mana politik yang bersedia untuk duduk dan patuh kepada arahan dan kehendak mereka.

"Dalam erti kata lain, mereka boleh mengajak parti-parti kecil seperti Berjasa dan Ikatan untuk berada di bawah telunjuk politik mereka, namun mustahil PKR dan PPBM untuk berbuat sedemikian," katanya.-Kedahnews.com