Harap Kedah Kekal Konsisten Aksi Terbaik Sepanjang Musim - TCH


ALOR SETAR - Menyifatkan persembahan pasukan Kedah bertemu Pahang semalam sebagai antara persembahan terbaik, Tan Cheng Hoe mengharapkan agar setiap pemain tidak terus leka dan mampu kekal konsisten dengan corak permainan mereka seperti semalam.

Ketua Jurulatih Kedah itu berkata, perjalanan skuad Helang Merah masih lagi jauh dalam mengharungi liku-liku ranjau Liga Super di sepanjang musim ini dan beliau mengharapkan agar setiap pemain memberi komitmen terbaik bagi memenuhi matlamat pasukan.

"Saya harap kita dapat kekalkan corak permainan sedemikian kerana musim ini masih panjang lagi.

"Harapan saya agak pemain dapat kekal konsisten bagi setiap perlawanan," katanya sejurus selepas perlawanan yang menyaksikan Kedah menumpaskan pendahulu liga, Pahang, yang berkunjung ke Stadium Darulaman semalam dengan jaringan 4-1.

Ketua Jurulatih yang berjaya membawa Kedah menjuarai Piala Malaysia pada musim lalu itu turut mengucapkan tahniah kepada semua pemain skuad Hijau Kuning semalam atas persembahan yang begitu memukau.

"Persembahan yang terbaik daripada pemain-pemain, tahniah kepada semua pemain," katanya.

Sementara itu, Cheng Hoe turut memuji pemain muda Kedah, Mohd Farhan Roslan yang tidak mensia-siakan peluang yang diberi untuk turun beraksi menentang Pahang dengan menjaringkan satu gol berharga buat pasukan.

Skuad Helang Merah semalam membuat kejutan terhadap pasukan kendalian jurulatih, Dollah Salleh, dengan jaringan 4 - 1, sekaligus menyaksikan pasukan kebanggaan anak Kedah itu mendaki ke puncak liga dengan empat perlawanan. -Kedahnews.com