Hentikan Pengeluaran Lesen Judi – Muafakat


KUALA LUMPUR – Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) menggesa kerajaan memberhentikan pengeluaran lesen baharu dan tidak memperbaharui lesen judi sedia ada.

Setiausaha Agung Muafakat, Yasin Baboo berkata langkah itu bagi mengekang penularan gejala judi yang semakin tidak terkawal di negara ini.

“Kami juga mencadangkan supaya peraturan sedia ada disemak dengan tambahan hukuman mandatori penjara dan sebatan kepada mereka yang disabit kesalahan.

“Hukuman ini merupakan langkah pencegahan bagi kesan buruk keruntuhan sosial akibat aktiviti perjudian,” katanya dalam kenyataannya di sini, semalam.

Muafakat turut menyarankan pihak polis mengadakan sesi dialog dengan ulama serta badan bukan kerajaan (NGO) Islam.

Selain itu, Yasin berkata pihaknya menyarankan kerajaan menubuhkan suruhanjaya bebas bagi menangani masalah sosial berkenaan susulan pelancaran Indeks Syariah Malaysia pada Februari tahun lepas oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya keanggotaan suruhanjaya itu perlu terdiri daripada tokoh pelbagai latar belakang. – BERNAMA