Husam Tetap Pertahan Dakwaan PAS Terima RM90 Juta Dari UMNO


SHAH ALAM – Tidak berganjak dengan kenyataan balas yang diberikan terhadapnya, Penasihat Parti Amanah Negara (PAN) Datuk Husam Musa teguh mempertahankan ucapannya berhubung PAS menerima dana sebanyak RM90 juta daripada UMNO.

Menerusi kenyataan kepada media, Husam berkata, tindakan mahkamah hanyalah cara untuk membuktikan kebenaran berhubung isu berbangkit.

“Saya mempertahankan apa yang saya ucapkan dalam ceramah saya di Selising, Pasir Puteh, Kelantan pada 6 Februari lalu.

“Saya berpendapat, kenyataan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man adalah tanpa penelitian,” katanya.

Beliau turut menempelak Tuan Ibrahim yang baginya mungkin tidak tahu hujung pangkal isu berbangkit.

“Saya tidak pasti kenyataan beliau berkenaan tindakan mahkamah adalah kenyataan peribadi atau pendirian rasmi PAS,” katanya.

Kelmarin, Tuan Ibrahim menafikan tuduhan Husam mengenai dana yang diberikan UMNO melalui akaun Affin Bank.

Beliau berkata, fitnah yang bersifat jahat itu adalah sambungan rantaian fitnah yang pernah dibuat oleh Sarawak Report yang kini dalam tindakan perundangan.

PAS dalam masa sama akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan dakwaan tersebut.

"PAS akan mengambil tindakan undang-undang ke atas beliau sebagaimana kita ambil tindakan kepada Sarawak Report."

Sumber: Sinar Harian