Ibu Tunggal Di Yan Buntu Cari Wang Beli Mesin Susu Anak

YAN - Seorang ibu tunggal buntu memikirkan cara untuk mencari wang bagi menanggung kos perubatan anak lelakinya Muhammad Nabil Mohd Firdaus, 5, yang kelumpuhan otak atau Celebral Palsy Spastic Quadriplegia sejak lahir.

Kini keadaan bertambah rumit apabila mesin susu yang sering digunakan pula rosak.

Lebih malang, kanak-kanak itu kini turut menghidap penyakit lain iaitu 'Laryngomalacia' atau masalah pernafasan kronik selain pedih hulu hati tahap empat.

Menurut Norhasniza Abd Ghani, 32, biarpun tidak pernah dapat bermain dengan anaknya seperti ibu lain, dia reda dan mahu berikan yang terbaik untuk anaknya walaupun terpaksa berganti nyawa.

“Sebelum ini saya bekerja di kedai kek, namun berhenti kerana perlu memberikan perhatian kepada anak sepenuhnya.

"Kos keperluan anak saya mencecah hampir RM2,000 sebulan.

“Belanja RM2,000 itu termasuk membeli keperluan anak seperti lampin dan susu khas yang jauh lebih mahal. Saya sanggup ikat perut untuk memastikan anak berada dalam keadaan baik,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kabu Sepuluh, Yan di sini.

Tambahnya, anaknya itu sering dimasukkan ke hospital kerana mempunyai masalah pernafasan.

"Sebulan ada dalam tiga kali dia akan ditahan di dalam wad bagi pemantauan doktor," katanya.

Norhasniza berkata, selepas berhenti kerja dia hanya bergantung dengan wang bantuan dari Lembaga Zakat sebanyak RM450 dan RM300 dari Jabatan Kebajikan.

“Saya perlu mencari sekurang-kurangnya RM3,000 untuk dapatkan mesin susu yang berfungsi dengan baik atau anak akan mengalami kesukaran untuk menerima zat sepatutnya.

“Kini, saya terpaksa memberi makan secara normal yang menyebabkan anak muntah kerana masalah saluran dan saya sangat bimbang dia tidak menerima zat yang diperlukan,” katanya.

Katanya, dia sangat buntu untuk mencari wang dan tidak sanggup lagi melihat anaknya kelaparan disebabkan mesin susu yang rosak

“Saya sudah malu untuk berhutang saudara mara kerana mereka memang sudah sedia membantu dan wang bantuan yang saya dapat memang untuk Muhammad Nabil saja.

“Ibu dan ayah yang duduk sebumbung juga sudah uzur dan perlukan perhatian dari saya. Saya tidak kisah mengabdikan diri untuk mereka, namun jika tiada sumber kewangan memang sukar untuk saya teruskan kehidupan,” katanya.

Bagi orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan bolehlah berbuat demikian menerusi akaun CIMB7045857342.

Sumber: Sinar Harian