Inflasi Meningkat Sedikit, PAS Saran Kerajaan Kurangkan Kadar GST


ALOR SETAR – PAS memberi saranan supaya pihak kerajaan membatalkan cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebanyak 6 peratus yang dikenakan terhadap rakyat sejak April 2015 yang lalu.

Menurut Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, sekiranya kerajaan tidak boleh untuk menghapuskan terus GST, kerajaan diharapkan dapat mengurangkan kadarnya bagi meringankan bebanan rakyat.

"Jika kerajaan tidak mampu untuk membatalkan GST, sekurang-kurangnya kerajaan perlu menurunkan kadar GST sejajar dengan kenaikan kadar inflasi sebagai langkah mengurangkan beban rakyat.

"Menurunkan kadar GST sejajar dengan kenaikan kadar inflasi tidak akan mengurangkan nilai kutipan GST kepada kerajaan kerana harga barangan yang lebih mahal akan mengimbangi penurunan kadar GST," katanya.

Menurut Tuan Ibrahim, kadar inflasi akan meningkat kepada  tiga peratus tahun ini berbanding 2.1 peratus pada 2016, ini terjadi kerana harga bahan api meningkat, penghapusan subsidi, peningkatan kos perniagaan dan penyusutan nilai mata wang.

"Kadar inflasi naik kepada 3.2 peratus tahun ke tahun pada Januari 2017, daripada +1.8 peratus pada Disember dan November 2016. Ini disebabkan pemulihan dalam kos pengangkutan," katanya.

Tambahnya lagi, ini akan mengakibatkan harga barang akan terus meningkat dan rakyat terbeban ekoran terpaksa membayar lebih pada bulan-bulan akan datang.

"Apapun, kerajaan perlu beringat bahawa kadar inflasi sebenar adalah lebih tinggi di realiti.

"Kadar inflasi purata tidak menggambarkan keadaan sebenar yang dirasai rakyat marhaen kerana para peniaga tidak menaikkan harga barangan mengikut peratusan sebaliknya mengikut nilai sen," ujarnya.-Kedahnews.com