Isteri Keliru Bab Jima' Dan Rujuk Nikah


Soalan: Saya diceraikan pada 25 Disember 2015 dalam keadaan saya masih nifas. Pada 3 Februari 2016, saya dipanggil untuk pendengaran kes di mahkamah.

Selepas pendengaran itu iaitu pada hari yang sama, suami melakukan hubungan intim dengan saya dan ia berterusan seminggu sekali. Pada 31 Mac 2016, kami telah disahkan bercerai oleh mahkamah syariah tanpa mengetahui kami telah melakukan hubungan intim.

Kami ingin rujuk semula. Apakah status saya? Adakah sudah diceraikan atau tidak?

Isteri keliru, Selangor.

Jawapan UKE:

Bagi Mazhab Syafie, rujuk melalui perlakuan tanpa lafaz rujuk, sama ada persetubuhan, mahupun permulaan persetubuhan sebagaimana pandangan Hanafi.

Contohnya, Mazhab Syafie berfatwa sebarang persetubuhan pada waktu iddah tanpa lafaz rujuk yang jelas terlebih dahulu adalah haram.

 Imam al-Syafie berkata yang bermaksud:

“Rujuk mestilah dengan percakapan (lafaz) dan bukannya dengan jimak dan lainnya, kerana tiada rujuk tanpa lafaz.

Maka tidak sah rujuk bagi seorang lelaki kepada wanita sehinggalah dia melafazkannya, sebagaimana tiada nikah dan talak yang dibuat tanpa lafaz, maka jika si lelaki melafazkannya (rujuk) semasa iddah barulah sah rujuknya” (Al-Umm).

 Malaysia mengamalkan Mazhab Syafie maka hendaklah anda mengikut keputusan mahkamah. Jika ingin hidup bersama suami semula, mulakanlah dengan akad nikah yang baharu kerana anda telah melepasi tempoh iddah.

Sumber: Utusan